Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Monday, April 12, 2010

STOP PRESS:PARTI POLITIK TERBESAR MALAYSIA TUKAR LOGO UNTUK NAMPAK GLOKAL


TAKBERNAMA,Sabtu,10April:Setiausaha Agung AMENO berkata selaras dengan NKeRA dan Kay Pee I yang diperkenalkan oleh Presidennya yang juga merupakan Perdana Menteri Malaysia,parti itu akan membuat beberapa pembaruan yang difikirkan memberikan nilaitambah.
"AMENO sebagai parti politik sentiasa bersedia menyokong visi dan was-was-an Presiden agar dapat memberikan yang terbaik kepada para kaum kerabat pemimpinnya...errr kepada rakyat'.Beliau berkata demikian semasa di tanya oleh wartawan.
Setiausaha Agung AMENO ditemui sewaktu majlis perasmian tandas untuk Menteri dan petugas AMENO di Hulu Selangor siang tadi.Majlis perasmian tandas untuk Menteri dan pemimpin AMENO di buat diatas insiatif Naib Presiden AMENO,Syokfie Kaldai yang berang beliau tidak dapat melepaskan hajat kerana tandas balairaya dekat sini tidak dapat dibuka dan kononnya anak kunci tandas itu disorok oleh Menteri Besar Selangor.
Setiausaha Agung AMENO juga menyebut,AMENO akan menampilkan imej baru yang lebih perkasa dan bagi membolehkan AMENO dilihat bertaraf dunia sesuai dengan slogan Glokal Perdana Menteri,akan menukarkan logo parti tersebut.
"Pihak kita telah mendapat nasihat dan pandangan daripada EPKO yang mencadangkan logo AMENO ditukar atau dipinda agar lebih bersifat Glokal." Malah menurut beliau logo baru AMENO tersebut diilhamkan sendiri oleh Presiden AMENO setelah mendapat pandangan EPKO.
"Adalah diharapkan dengan logo baru ini AMENO akan lebih menerima sokongan di peringkat global khususnya rakyat Monggolia untuk mengundi kita dan semestinya juga diperingkat lokal."
Setiausaha Agung AMENO turut menambah logo asal AMENO yang telah digunakan sejak tahun 1987 perlu diubah umtuk menambahbaikan sesuai dengan NKeRA dan Kay Pee I yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri.
Sementara itu Naib Presiden AMENO Syokfie Kaldai menuding jari kepada Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang didakwa mensabotaj AMENO kerana enggan membuka pintu tandas di Hulu Selangor.
"AMENO tidak pernah buat begini.Setiap kali pilihanraya AMENO tidak pernah menggunakan jentera mahupun agensi kerajaan.Malah kita memberikan ruang secukupnya untuk media perdana memberikan publisiti kepada pembangkang dengan memburuk-burukkan pemimpin mereka."
Beliau juga menyebut AMENO dan Kerajaan tidak pernah menyurukkan kunci mana-mana bangunan milik Kerajaan untuk kegunaan rakyat.Dengan memberikan suatu contoh,Dato Syokfie Kaldai menegaskan bahawa Kerajaan tidak pernah menyurukkan kunci Pusat Tahanan Kamunting bagi membuktikan bahawa AMENO dan Kerajaan prihatin kepada rakyat.TAKBERNAMA
*Template logo dengan izin dari blog:http://budakkampungonline.blogspot.com/

Thursday, April 8, 2010

FOTOLOG:KEMBARA JUANG KE NEGERI KEDAH

Awal bulan Mac lalu saya telah diminta oleh Pejabat Dato Seri Anwar Ibrahim (Pejabat Ketua Umum KEADILAN) mewakili parti bagi menghadiri acara Himpunan Pemuda PAS di Pejabat PAS Kawasan Jerai,Yan,Kedah Darul Aman.Acara tersebut dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Kedah.
Selain daripada saya ada wakil juga wakil daripada Dewan Pemuda PAS Perak yang menjelaskan tentang kemelut politik Perak;manakala saya diminta memberikan taklimat berkenaan kes Liwat-II DSAI selain daripada motivasi kepada para Pemuda.

Saya turut mengambil kesempatan bertukar-tukar fikiran dan mempelajari pendekatan,taktiks dan strategi teman-teman di Kedah.Sambutan yang cukup mesra meraikan saya dan teman-teman lain dari Temerloh bersama pimpinan Pemuda,seorang ADUN dan seorang lagi Ahli Parlimen.


Keletihan perjalanan jauh dari Temerloh terubat tatkala mendapati hampir 500 orang Pemuda PAS hadir di Majlis tersebut.Malah izinkan saya mengajak untuk berkongsi kekaguman terhadap komitmen dan kesungguhan para Pemuda PAS pada malam tersebut.Program sehari suntuk tersebut kepada saya cukup berjaya.

Saya difahamkan setiap peserta yang hadir (hampir 500 orang) dikenakan bayaran RM10.00 seorang;Dewan Pemuda PAS juga menubuhkan Skuad Sukarelawan bagi setiap DUN dan Pemuda yang mendaftar sebagai Sukarelawan dikehendaki menyumbang RM10.00 lagi!Malah t-shirt program Himpunan Pemuda tersebut tidak diberi percuma tetapi perlu di beli dengan harga RM5.00 sehelai.

Saya memberitahu teman-teman dari Temerloh yang bersama saya bahawa PAS/PR berhak menang di Kedah tatkala melihat komitmen para aktivis Parti yang sebegitu kukuh;sifat sanggup berkorban untuk perjuangan memungkinkan mereka memperolehi apa yang mereka ada hari ini.Malah saya percaya dengan semangat sebegini,insyaAllah Kerajaan PR Kedah tidak akan tumbang.Itu keyakinan saya.

Jika kita meneliti sejarah perjuangan waima sejarah perjuangan menuju kemerdekaan semuanya diwarnai oleh kegigihan anak muda.Shah Iran tidak akan meninggalkan takhta meraknya jika anak muda Iran tidak bangkit.Kerana itulah tidak berlebihan apabila Bung Karno menyeru dengan seruan keramatnya yang terkenal itu:Berikan aku 10 orang anak muda berhati waja,nescaya Gunung Mahameru akan ku rata.Begitulah peranan besar anak muda.

Mempelajari pengalaman daripada Pemuda PAS Kedah (yang saya berasa begitu cemburu dan ghibtah tentunya) banyak yang boleh diteladani oleh KEADILAN khususnya AMK Pahang.Upaya untuk membentuk gabungan atau pasukan mantap berdisplin serta penuh komitmen perlu dilakukan dengan segera.

Perlu diterapkan semangat juang yang jitu berdasarkan kepada prinsip perjuangan dan idealogi parti kepada setiap anggota AMK selaku barisan hadapan parti.Kita sudah tidak punya masa,sesungguhnya,untuk meladeni segala yang bersifat titikbengik sehingga kadang-kadang kita terlupa kepada agenda yang lebih besar dan prima.

Maka itu tuntutan perjuangan yang suci ini tentunya menuntut setiap dari kita berjiwa besar.Segala yang bersifat cengeng kewajarannya dikesampingkan bagi mendepani cabaran yang lebih utama.Dan inilah saya kira yang menguatkan lagi keazaman untuk meranduk dan mengharung ombak badai perjuangan Parti seperti yang saya pelajari dari kembara singkat saya ke Kedah.


The Road Not Taken
(Robert Frost;1874-1963)

TWO roads diverged in a yellow wood,

And sorry I could not travel both

And be one traveler, long I stood

And looked down one as far as I could

To where it bent in the undergrowth;


Then took the other, as just as fair,

And having perhaps the better claim,

Because it was grassy and wanted wear;

Though as for that the passing there

Had worn them really about the same,


And both that morning equally lay

In leaves no step had trodden black.

Oh, I kept the first for another day!

Yet knowing how way leads on to way,

I doubted if I should ever come back.


I shall be telling this with a sigh

Somewhere ages and ages hence:

Two roads diverged in a wood, and I—

I took the one less traveled by,

And that has made all the difference.








Wednesday, April 7, 2010

ISU APCO:APAKAH NAJIB NAIF ATAU TERPERANGKAP DENGAN KONSPIRASI ZIONIS?

Saya pernah terbaca didalam sebuah buku tentang Almarhum Presiden Sukarno.Diceritakan Sukarno ini sememangnya terkenal sebagai seorang 'womaniser'.Ketika melawat USSR,pihak KGB diberitakan telah memerangkap Sukarno dengan mengambil gambar beliau didalam keadaan yang begitu 'intimate' dengan seorang wanita Russia.

Pihak KGB mahu menggunakan gambar (atau mungkin juga filem) tersebut untuk menundukkan Sukarno;untuk menjadikan Sukarno sebagai alat kepada Russia dengan jalan membuat ugutan akan menyebarkan foto-foto itu ke khalayak di Indonesia.Didalam buku tersebut dinyatakan dengan tenang Sukarno menjawab bahawa beliau tidak peduli jika rakyatnya tahu malah beliau percaya rakyat bangga mempunyai presiden yang 'ganteng' dan gagah perkasa.


Demikianlah catatan tentang Sukarno.Alhasilnya KGB gagal mempergunakan Sukarno untuk dijadikan alat mereka.Itu Sukarno yang punya tampang yang tidak mudah ditundukkan.

Kita menjerit-melaungkan betapa kita senantiasa bersama menyokong rakyat Palestin berjuang menentang imperialisme Israel.Namun ternyata kata-kata hanyalah klise semata-mata sedangkan hakikatnya pemimpin negara rela dipergunakan oleh agen Zionis.


Sekiranya kita pengamat yang tulus maka tentunya akan dapat dilihat beberapa contoh teladan bagaimana pemimpin sesebuah negara itu dipergunakan menjadi alat kepada negara asing atau didalam lain perkataan menjadi 'stooges' dek disebabkan ada jerangkung didalam almari (skeleton in the closet) yang berkaitan dengan keperibadian pemimpin negara berkenaan misalnya.

Bahkan bukan menjadi rahsia tersembunyi ada pemimpin negara tertentu diperalatkan hanya kerana masalah moral mereka-hubungan seks terlarang misalnya-dijadikan alat perasugut agar individu tersebut akur kepada kehendak kuasa asing berkenaan.Atau ada juga yang dimotivasikan oleh wang dan kemewahan maka individu tersebut sanggup menjual negara dan 'sold his/her souls' kepada negara asing.

Malah kaedah ini menjadi sebahagian daripada modus operandi agensi perisikkan untuk mengrekrut agen atau talibarut mereka yang kemudiannya diletakkan (planted) didalam posisi Kerajaan bagi mengumpulkan maklumat.Kita boleh sahaja membaca novel-novel perisikkan khususnya yang mengambil latar masa sewaktu Perang Dingin (jika begitu malas untuk membaca buku-buku separa-ilmiah) tentang peranan dan kaedah yang digunakan oleh agensi perisikan asing khususnya yang memang sudah tersohor seperti CIA,KGB (sekarang NKVD),MI5/MI6.MOSSAD mahupun Cawangan Khas di negara kita sendiri.

Harus difahami bahawa agensi perisikkan ini untuk membuat 'penetration' keatas sesebuah negara tentunya tidak akan datang secara 'bona fide',maksudnya mereka akan datang ke sesebuah negara secara berselindung (camouflage) seperti NGO atau Perniagaan atau Konsultan hatta sebagai pelancong dan sebagainya.

Ertinya mereka ini tidak akan datang berjumpa dengan kita memperkenalkan diri "I am from MOSSAD and we want to recruit you," sebaliknya pendekatan yang digunakan cukup berhemah serta halus.

Berbalik kepada isu APCO,saya begitu musykil bagaimana Dato Seri Najib Razak,boleh melantik syarikat ini sebagai konsultan bagi pihak kerajaan (saya lebih senang menyebut APCO diupah menjadi konsultan kepada Najib menggunakan wang rakyat) tanpa dilihat atau disaring latarbelakang siapa-siapa (who's who) di belakang syarikat berkenaan.

Malah apakah keperluan Kerajaan mengupah konsultan sebegini yang antara lain,terma rujukannya untuk membantu “membina imej” negara dan mengendalikan "strategi komunikasi".Apakah perlantikkan APCO memperlihatkan kegagalan Wisma Putra berperanan di peringkat antarabangsa vis-a-vis dunia diplomasi.Jika demikian,maka langkah yang paling baik diatas kegagalan tersebut ialah samada Menteri Luar dipecat atau meletakkan jawatan secara sukarela dan seluruh Wisma Putra perlu 'revamp'.

Namun begitu persoalan pokok ialah kenapa tidak ada sebarang saringan keselamatan atau mekanisme yang dapat menentukan latarbelakang APCO ini?Bagaimana pula dengan peranan penasihat keselamatan PM?Apakah mungkin Najib Razak 'brush aside' nasihat dan pandangan mereka itu.

Saya fikir Najib tidak naif.Di era ini maklumat dihujung jari,dengan hanya menaipkan perkataan APCO di enjin carian,akan dapat diperolehi maklumat latarbelakang APCO,itu pun jika Najib tidak mahu menggunakan para pegawainya untuk membuat semakan.Didalam lain perkataan anak sekolah Darjah Enam pun boleh menggunakan internet untuk mencari maklumat berkenaan.

Dan tentunya jika Najib seorang yang sensitif beliau tidak akan memilih melantik APCO yang kaitannya begitu jelas bertaut dengan Israel (dan agensi Keselamatan/Perisikkan Israel) sebagai konsultan.Ianya bukan sahaja boleh dinilai bersifat khianat kepada perjuangan rakyat Palestin malah kepada saya (dan saya percaya jutaan rakyat Malaysia) turut khianat kepada keselamatan negara yang di kompromikan.

Atau mungkinkah Najib memilih untuk mengupah APCO yang saya percaya beliau sejak dari awal punya pengetahuan penuh latarbelakang syarikat ini punya kaitan rapat dengan Israel diatas sebab-sebab tertentu yang dirahsiakan.Saya tidak fikir Najib naif atau berminda leceh,namun keputusan beliau menggunakan khidmat APCO ini yang sekali gus berkompromi dengan keselamatan negara tentunya mengundang persoalan.

Memahami Najib yang tidak punya tampang seperti Bung Karno dan sikap Najib yang membisu seribu bahasa berkaitan isu ini,saya bimbang jika ada yang menyorot isu ini sebagai konspirasi agen asing atau MOSSAD terhadap Najib.Saya punya keyakinan kebimbangan ini turut di kongsi oleh ramai rakyat Malaysia.

Dan tentunya jalan terbaik buat Najib bukan sekadar memberikan penjelasan menyeluruh (full and frank disclosure) malah perlu mengambil inisiatif untuk membenarkan Suruhjaya DiRaja ditubuhkan bagi menjalankan siasatan;disamping itu juga langkah yang paling mulia ialah dengan menamatkan perkhidmatan APCO.Najib perlu mengambil tanggungjawab ini dengan segera.

Jika tidak Najib akan selamanya dikecam dan dikenang sebagai Perdana Menteri yang membenarkan agen asing bertapak di Negara kita dan berkompromi dengan keselamatan negara.Najib akan dikenang sebagai Perdana Menteri yang menjemput zionis masuk ke negara kita.Pilihan tentunya di tangan Najib bagi menentukan kepentingan politik peribadi beliau atau kepentingan negara keseluruhannya.





Noh Omar,UMNO,DEB Dan Minda Leceh

Hari ini berlangsung Konvensyen BN Selangor di Shah Alam.Noh Omar diberitakan menyampaikan ucapan penuh semangat.Antara lain Noh Omar mengecam MB Selangor dan DSAI kerana mencadangkan DEB di mansuhkan.
Jelas kenyataan Noh Omar bertujuan untuk memainkan sentimen Melayu atas tanggapan orang Melayu akan tersisih dan sekaligus tidak mendapat pembelaan di bawah Kerajaan PR. Inilah imej bruk yang cuba dilakarkan oleh Noh Omar ketimbang UMNO/BN terhadap KEADILAN menjelang PRKP Hulu Selangor.Mereka bukan sahaja ketiadaan isu tetapi lebih penting dari itu ialah proses pembodohan Orang Melayu berterusan serta propaganda sonsang (reverse psychology).
Noh Omar dan pemimpin UMNO tidak pernah mengakui betapa selama ini,lebih dari 5 dekad,UMNO yang menggubal dasar berkaitan kepentingan Orang Melayu tetapi dek kerakusan,ketamakkan yang tahunya mengenyangkan perut sendiri dan salahurus serta korupsi yang boleh diibaratkan sebagai pakaian harian,maka untungnasib orang Melayu tidak terbela. Berkaitan dengan DEB juga,saya fikir Noh Omar tidak boleh menuding jari kepada MB Selangor mahupun mana-mana pimpinan Pakatan Rakyat.
PM Najib Razak seawal bulan Mei 2009 telah mengumumkan di SINGAPURA bahawa DEB akan dihapuskan.Sengaja saya tulis perkataan Singapura itu didalam huruf besar kerana PM Najib hanya berani mengumumkan tentang DEB yang dimansuhkan di luar negara;seperti lazimnya bila di Tanahair sendiri Najib Razak lebih bergembira untuk mendiamkan diri.
Pengumuman Najib di Singapura itu langsung tidak mendapat liputan di dalam suratkhabar berbahasa Melayu (Utusan atau Berita Harian);hanya suratkhabar bahasa Inggeris dan Cina sahaja memaparkan berita tersebut.Keadaan ini disengajakan untuk mengelakkan 'backlash' daripada orang Melayu kononnya disamping untuk terus menyembunyikan maklumat kepada orang Melayu agar senang kemudian hari dimanipulasikan (mungkin istilah yang lebih tepat ialah 'instigasi' (instigation)) oleh pemimpin yang separuh matang seperti Noh Omar.
Apakah Noh Omar dan lain-lain pemimpin UMNO termasuk Gurkha UMNO seperti Ezam Mohd Nor punya keberanian untuk mengkritik Najib didalam isu yang sama?Kita menunggu-nunggu semangat keperkasaan Melayu Noh Omar membuak untuk kemudiannya menuding jari kepada Najib sebagai pengkhianat Melayu.
Pun begitu saya tidak ada kepercayaan walau sebesar zarah sekali pun Noh Omar dan pemimpin UMNO akan berani berbuat demikian.
*Untuk bacaan lanjut sila baca entri lama saya

Monday, April 5, 2010

Tahniah Yang Berhormat Azan Ismail


MP Indera Mahkota saman Utusan RM29 juta
Apr 5, 10
Ahli parlimen Indera Mahkota Azan Ismail hari ini memfailkan saman fitnah berjumlah RM29 juta terhadap seorang editor dan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad.Azan yang hadir bersama peguam yang mewakilinya, A. Vasudevan memfailkan saman itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerusi tetuan Vasudevan A & Co.
Beliau menamakan editor akhbar Utusan Zulkiflee Bakar sebagai defendan pertama dan syarikat akhbar itu, defendan kedua.Dalam penyata tuntutannya, Azan dari PKR mendakwa Zulkiflee telah menulis satu artikel dalam akhbar Utusan pada 6 Mac lalu yang berunsur fitnah terhadap beliau.
Azan mendakwa dalam artikel yang berserta dengan gambar itu mengatakan bahawa beliau telah keluar dari PKR dan telah meletakkan gambarnya bersama dengan ahli-ahli politik lain yang telah keluar dari PKR sebelum itu.
Tambahnya, defendan kedua pula telah mencetak dan menerbitkan satu laporan susulan pada ruang ralat dalam suratkhabar Utusan Malaysia pada 8 Mac lalu yang menyatakan Azan tidak keluar dari PKR tetapi telah meletak semua jawatan dalam PKR termasuk timbalan pengerusi perhubungan negeri dan pengerusi biro keahlian negeri.Dakwanya lagi, kedua-dua cetakan dalam akhbar pada 6 Mac dan 8 Mac itu boleh menjatuhkan air muka serta maruahnya.
Beliau menuntut ganti rugi RM29 juta terhadap kedua-dua defendan, satu injunksi terhadap defendan pertama daripada membuat apa-apa laporan dan/atau penulisan lain yang berunsur fitnah terhadapnya dan injunksi terhadap defendan kedua daripada mencetak apa-apa laporan berunsur fitnah.Azan juga menuntut faedah 8 peratus setahun ke atas jumlah ganti rugi RM29 juta dari tarikh saman itu difailkan. - Bernama

Tuesday, March 30, 2010

Mengenang Allahyarham Zainudin Zainal






Saya tidak dapat menahan pilu apabila diminta oleh Sdr ManKadir untuk menyentuh didalam ucapan saya ketika Mesyuarat Agung Tahunan KEADILAN Cabang Temerloh tentang Allahyarham Zainudin Zainal.Memang sengaja kami undang keluarga Allahyarham ke MATC sebagai mengambil kesempatan bagi menyerahkan momentos,tanda kenang-kenangan dari kami yang berupa plak yang amat sederhana.





Foto:Sdr Zakaria Abd Hamid menyerahkan plak dan sedikit sumbangan kepada balu Allahyarham,Puan Shahrul Bariyah sambil diperhatikan YB Hajjah Zuraidah sewaktu MATC Temerloh baru-baru ini.


Plak tersebut ditempah dan disediakan oleh Sdr Yusairy Ahmad,Timbalan Ketua Cabang Temerloh sebenarnya sudah lama siap;cuma tuntutan masa yang menyebabkan acara untuk menyerahkan momentos tersebut hanya dapat disempurnakan pada 28.3.2010 yang lalu.


Bagi 'orang baru' perjuangan,mungkin ramai yang tidak mengenali Allahyarham Zainudin atau panggilan mesranya ialah Din Koneweh.Zainudin semasa hayatnya pernah menjadi pegawai di Hong Kong Bank.Allahyarham antara yang terawal mengisi borang keahlian Parti Keadilan Nasional (ketika itu) setelah ditubuhkan pada 9.4.1999 di Temerloh.


Setelah sama-sama menyertai Parti,saya menjadi rapat dengan beliau.Kami ketika itu merupakan anak muda yang sememangnya jahil politik;pun begitu sama-sama mempunyai impian dan semangat yang kuat untuk membawa agenda Reformasi dan membebaskan Sdr Anwar Ibrahim yang mendekam di Penjara Sungai Buluh.



Saya menyebut kami jahil politik,ya,sehinggakan istilah PACA (polling agent/counting agent) pun ketika itu tidak kami fahami peranan dan fungsinya.Didalam keadaan yang serba tidak tahu itu,saya kira,Zainudin dan ramai lagi teman-teman lain yang tidak pernah berpolitik memberanikan diri untuk terus berjuang melawan kekuatan UMNO/BN dengan jenteranya yang ampuh dibantu media.Kami memberanikan diri berhadapan dengan kerenah dan cabaran daripada pihak Polis samada untuk mendapatkan permit atau bila permit di batalkan.

Foto:Puan Shahrul Bariyah balu Allahyarham bersama puteri Allahyarham,seorang kanak-kanak istimewa sedang meneliti plak kenang-kenangan dari Cabang Temerloh


Berhadapan dengan segala kekurangan ini,kami tidak pula menyerahkalah.Dengan dipandu oleh Hj Suhaimi Said,Dr.Wahid (sudah meninggalkan parti bersama Geng 12),Zakaria Abdul Hamid dan 'try and error' kami memberikan segala yang terbaik untuk perjuangan.Mentah dan berhingus tidak tidak menjadi alasan untuk Zainudin dan teman-teman lain meninggalkan perjuangan.


Alahyarham pernah dilantik sebagai Setiausaha Perhubungan KeADILan Pahang yang kedua disamping menjadi Setiausaha Bahagian Temerloh.Saya kira Allahyarham seorang yang berani menyahut cabaran kerana tugas sebagai SUP bagi sebuah parti yang baru bukanlah mudah.Terlalu banyak cabarannya termasuk kerenah dari ahli dan pemimpin setempat.



Foto:Saya menyampaikan sumbangan bagi pihak Kak Wan (Dato Seri Dr.Wan Azizah Ismail) Presiden KEADILAN kepada Allahyarham Zainudin Zainal (tuan Setiausaha) sewaktu banjir besar tahun 2007 dahulu.Rumah Allahyarham di Taman SAGUMPAS Mentakab dinaikki air banjir memaksa Allahyarham sekeluarga berpindah.


Perlu disinggung bahawa tugas seorang Setiausaha bukan sekadar urusan pentadbiran parti tetapi juga merangkumi kerja-kerja memasang poster,mengedar poster,mengecat lambang,menjadi pengutip derma,mengedar risalah di pekansari,penceramah,tukang masak dan pelbagai lagi.Tidak pernah kami merungut atau merasakan kerja-kerja tersebut 'beneath our dignity' tetapi dilaksanakan demi tuntutan perjuangan dan untuk membina Parti.Hari ini saya difahamkan kerja-kerja memasang poster atau mengutip derma atau menjaga lalulintas dianggap 'mencemar duli' bagi sesetengah pemimpin terkecuali tugas untuk mengiringi Sdr Anwar Ibrahim atau pemimpin tertinggi yang lain-tugas sedemikian sahaja dianggap yang paling layak dan mulia!




Dan semua ini dilakukan oleh kami tanpa dalih.Keutamaan ialah melihat parti dibangunkan dan mendapat tempat di hati rakyat selain bagi memperkasakan parti yang baru itu.Namun kerja-kerja tersebut dilakukan secara teamwork atau berpasukan memantapkan lagi kesetiakawanan kami.




Pada suatu hari saya berjumpa dengan Allahyarham Zainudin di Pejabat KeADILan Pahang (waktu itu pejabat perhubungan negeri di Temerloh berkongsi pejabat dengan firma guaman Tetuan Amir Maslina & Co yang menanggung bill elektrik dan air serta operasi pejabat tersebut), dri jauh beliau nampak tersenyum-senyum memandang saya.Seperti biasa saya menyergah beliau seraya bertanya apa yang membuatkan beliau nampak begitu gembira.


Rupa-rupanya Alahyarham mendapat penghormatan dari Kak Wan (Dato Seri Wan Azizah Ismail) Presiden Parti dengan merujuk kepada Alahyarham sebagai 'Tuan Setiausaha!'Semenjak dari hari itu secara bergurau kami akan memanggil beliau Tuan Setiausaha.


Sebenarnya banyak kenang-kenangan bersama Allahyarham termasuk sama-sama menyertai Demontrasi di Masjid Negara selain menyertai Pilihanraya Kecil.Kesemua kenangan ini memperlihatkan komitmen Allahyarham kepada perjuangan.


Pun begitu yang memberi kesan kepada saya peribadi ialah didalam keuzuran Allahyarham masih lagi turun padang bekerja sewaktu PRU-12 yang lalu.Setiap malam Allahyarham akan menghadiri mesyuarat merencana strategi dan brainstorming tanpa gagal.Manakala ketika itu Allahyarham didalam cuti sakit namun tetap aktif.Saya,Pak Din dan Hj Shukur pernah meminta Allahyarham agar berehat sahaja,namun,Zainudin adalah Zainudin,tidak mengendahkan saranan itu.


Allahyarham bersama Sdr Hashim Abdullah dan Hj Shukur mengadakan sidang media membuat bantahan terhadap pertindanan daftar pemilih,pada ketika itu Allahyarham memang sudah nampak begitu tidak sihat namun beliau masih meneruskan juga.Disebelah malamnya Allahyarham dikejarkan ke hospital di Kuantan dengan bantuan Pak Din.Di hospital Zainudin 'derhaka' kepada arahan Doktor,setiap hari beliau akan menghubungi saya bertanyakan perkembangan dan memberikan pandangan beliau dari kamar hospital.




Kesihatan Allahyarham merosot selepas dari pilihanraya.Beliau bukan sahaja menerima rawatan untuk sakit jantungnya di Kuantan malah pernah mendapat rawatan rapi di Kuala Lumpur.Saya dan teman-teman pergi menziarahi beliau,walaupun terbaring di katil hospital Allahyarham tetap ceria dan ramh seperti biasa;dan seperti biasa juga Allahyarham akan dengan sembunyi-sembunyi turun dari bilik Hospital Tawakkal untuk menjamu selera di Restoran mamak berhampiran.Itulah Zainudin Zainal.


Allahyarham kemudiannya terkena serangan angin ahmar (stroke) di dalam bilik air rumah sewa beliau di Kuantan ketika sedang bersiap untuk pergi kerja.Semenjak itu kesihatan beliau begitu mendukacitakan sehinggalah beliau pergi di jemput al-Khalik di rumahnya di Temerloh.


Sesungguhnya pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar kepada Parti dan perjuangan.Parti Keadilan Rakyat yang sudah bertapak kukuh seperti yang ada pada hari ini sesungguhnya terhutang budi kepada Allahyarham.Tentunya sebagai manusia biasa,dengan segala kekuatan dan kelemahan Allahyarham telah memberikan yang terbaik dri usia beliau untuk Parti dan perjuangan.Komitmen dan pengorbanan Allahyarham akan sentiasa di kenang dilipatan sejarah perjuangan.


Sewaktu menziarahi jenazah Allahyarham,seusai membaca Yaasin,saya tidak dapat menahan diri dari membuka tutup muka jenazah,menebarkan pandangan saya ke wajah Zainudin yang tenang itu buat kali terakhir dan kemudian saya cium dahi Allahyarham.Selamat jalan wahai sahabatku,damailah kau diperaduan itu.Semoga Allah menerima segala kebaikkan yang telah kau berikan dan ditempatkan rohmu di kalangan mereka yang beriman.Selamat jalan wahai sahabatku,perjuangan ini akan kami teruskan hingga ke titik penamat.Al Fatihah.
Nota Kaki:
Sdr Rizan Ali,Setiausaha Cabang Bera dan mantan SUP Pahang mengingatkan saya ada sedikit fakta yang tidak tepat iaitu mengenai jawatan SUP yang pernah dipikul oleh Allahyarham.Setelah saya membongkar semula catatan dan rekod saya bersetuju dengan Sdr.Rizan bahawa Allahyarham merupakan SUP kedua setelah Sdr.Kamal Talib.Saya telah betulkan semula didalam tulisan ini.Terima kasih kepada Sdr.Rizan kerana mengingatkan saya.
Berikut senarai SUP KEADILAN Pahang sejak dari penunubuhannya bulan April 1999:
SENARAI SUP PAHANG SEJAK 1999-KINI:-
pertama : Kamal Taib 1999-2001
kedua : Alahyarham Zainuddin Zainal 2001-2003
ketiga : Rizan Hj Ali 2003-2006
keempat : Razali alias 2006-2007
kelima : Wak Rabidin 2007-2008
keenam : Sheikh Bahazenan 2008
ketujuh: Zaidi Ahmad 2008-2009
kelapan : Razali Alias 2009-kini

Saturday, March 20, 2010

Psikik Orang Melayu Atau Penyakit Orang Melayu #1

Ceritera Satu


Baru-baru ini,saya telah dihubungi oleh seorang teman yang beria-ria benar meminta saya menunggu beliau di pejabat.


"Hujan ribut ke,kawan* minta tunggu juga.Kawan bawa rodong** dari Johor nak jumpa awok ni,"begitulah lebihkurang ulas butir teman ini didalam slanga Temerloh yang pekat.



Sekitar jam 6 petang teman ini bersama 4 orang lain tiba ke pejabat saya.Setelah sedikit basabasi saya terus diberitahu tujuan kedatangan mereka untuk meminta tolong saya menjual sebentuk cincin perak bertatahkan batu delima merah kepada Dato Seri Anwar Ibrahim.Tentunya saya sedikit terkejut dan terusterang,didalam hati saya merungut juga kerana membuang masa saya.



"Harga cincin delima ini kita nak jual dalam RM10000 kat Dato Seri (Anwar),kalau orang lain lagi mahal harganya," kata teman yang datang dari Johor itu.Saya mengesani ada pelat Jawa dari pertuturannya.Lelaki ini berkaca mata,gempal dengan janggut putih dan berkopiah.Dilehernya terlilit kain ala kafiyyeh Yasser Arafat.


Saya masih tidak memberikan sebarang respons,sekadar hanya menatap mata lelaki tersebut sambil didalam hati,saya masih lagi membebel-wasting my time-menunggu lelaki tersebut meneruskan 'hujjahnya'.


"Banyak fadhilatnya cincin batu delima ini.Pemakainya akan lebih disenangi,disukai orang.Popular gitu."


Saya masih mendiamkan diri,tidak menggubris walau sepatah ayat pun.


"Jadi sesuai sangatlah dengan Dato Seri Anwar memakainya,"demikian tutur lelaki ini dengan lagak salesman.


Lelaki ini bercerita lanjut betapa beberapa orang Menteri dan seorang Menteri Besar ada membeli batu cincin,keris Bugis dan sejenis besi yang saya lupa namanya daripada beliau.Mereka ini,sebelumnya hanya sekadar orang biasa sekarang sudah jadi Menteri Kabinet dan Menteri Besar (kebetulan nama-nama yang disebut itu dari kalangan pemimpin UMNO) tegas lelaki ini bagi membuktikan betapa ampuhnya batu delima merah yang jika direndam didalam air masak akan membuatkan air bertukar merah seumpama sirap.


Saya akhirnya membuka mulut juga.Saya tegaskan,tentunya dengan penuh diplomasi,bahawa saya tidak dapat membantu beliau kerana saya 'tidak pandai untuk membuka mulut' tentang hal sebegini.Lagi pun,jauh di dalam hati saya,saya tidak mempercayai langsung kuasa ajaib dari batu cincin atau besi dan sebagainya.


Malah ada keinginan yang kuat untuk saya bertanya kepada lelaki ini,jika benar batu delima tersebut begitu ampuh dan penuh dengan keajaiban,kenapa beliau tidak menggunakannya untuk diri sendiri?Jika benar batu delima tersebut penuh hikmat,saya fikir beliaulah yang paling patut menjadi Menteri Besar Johor memandangkan batu delima tersebut mampu memberikan kuasa yang begitu ajaib.Kerana menghormati tetamu,maka soalan itu saya pendamkan sahaja didalam hati.

Sehingga tetamu-tetamu saya pulang meninggalkan pejabat saya,cincin batu delima merah tersebut tidak pula ditunjukkan kepada saya.


Ceritera Dua

Jika ingatan saya tidak tersasar,sekitar bulan Februari tahun 2008,saya telah di kunjungi oleh sekumpulan lelaki Melayu bersama 2 orang wanita.Mereka hadir ke pejabat saya juga.Salah seorang dari mereka,kita namakan En.Awang (bukan nama sebenar) memberitahu saya mereka datang dari Jerantut dan beliau merupakan saudara kepada salah seorang pimpinan PAS Pahang yang merupakan sahabat baik saya.Awang memberitahu saudara beliau itu yang mencadangkan untuk berjumpa saya (kemudiannya saya menghubungi sahabat saya itu dan beliau menafikannya).

Pada perkiraan saya diawalnya,mereka ingin mengadu masalah atau mendapatkan nasihat perundangan atau sekurang-kurangnya untuk bercerita tentang politik.Ternyata saya tersilap.
Salah seorang dari rombongan tersebut,yang saya nilai sebagai ketua-di panggil Ayah Syeikh oleh yang lain-membuka bicara.

"Tujuan kami datang ini untuk meminta pertolongan anta,demi perjuangan orang Islam dan orang Melayu," demikian lebihkurang mukaddimah daripada Ayah Syeikh.Saya bertanya kembali dalam bentuk apakah pertolongan yang diminta.

"Ana nak minta anta tolong dapatkan (Dr.) Ustaz Badrul Amin atau (Dr.) Harun Din;kalau tak dapat kedua-dua minta anta dapatkan (Dr.) Ustaz Muhammad Nur (Manutty),tapi jika dapat Tok Guru Nik Aziz lagi baik!".

Mati hidup kembali saya menyangkakan mereka ini mahu minta pertolongan saya untuk membawa Ustaz Badrul Amin dan yang lainnya untuk berceramah atau kuliah agama.Diatas tanggapan tersebut saya dengan naifnya bertanya dimana dan bila program tersebut akan dilangsungkan?

Alangkah terkejutnya saya apabila diberitahu tujuan memanggil Ustaz Badrul Amin dan yang lain itu bukan untuk berceramah tetapi untuk meminta tolong bagi 'memanggil duit dan harta karun' yang tersembunyi atau tertanam di suatu tempat dan sedang dijaga oleh sekumpulan jin.

Saya terdiam,tidak tahu bagaimana untuk memberikan reaksi.Terkebil-kebil saya memandang Ayah Syeikh,yang saya kira mungkin berusia dalam lingkungan 50-an.Baru saya menyedari giginya yang kuning yang mungkin dek candu rokok serta pakaiannya yang kumal.Mata saya beralih dari memandang Ayah Syeikh kepada muka setiap tetamu saya petang itu.

"Ana dah buat solat hajat.Bangun malam solah tahajjud minta tolong kepada Allah.Ana doa mengadu kepada Rasulullah...",Ayah Syeikh meneruskan kata-katanya.Saya sekadar mendiamkan diri,tidak tahu bagaimana harus saya respond.

"Begini En.Nizam," Awang pula mencelah,"Ayah Syeikh kita ni memang dah buat solat hajat dan yang lainnya.Dah dapat petunjuk duit dan harta tersebut berada dimana.Banyak En.Nizam,tujuh keturunan tak habis makan.Cuma baru-baru ini jin yang menjaga harta tu kata Ayah Syeikh tak boleh ambil,kena orang lain."

Saya masih mendengar dengan tekun juga.Menarik juga kisah 'X-Files' sebegini,fikir saya,mungkin boleh menambah pengalaman (walaupun didalam hati saya langsung tidak mempercayainya) maka saya tidak mencelah.

"Jadi Ayah Syeikh ni teruskan buat amalan dia,siang puasa,malam dia iktikaf atas tikar sembahyang.Dua malam lepas Ayah Syeikh berjumpa dengan Rasulullah,tak begitu Ayah Syeikh?" Dengan bersungguh-sungguh Awang menjelaskan kepada saya dan tentunya saya terkejut mendengar cerita berjumpa Rasulullah itu.

Segera saya bertanya,"Apa maksud berjumpa Nabi Muhammad tu?Mimpi ke?".

Ayah Syeikh membetulkan letak punggungnya dan dengan tersenyum bangga menjawab:"Ana tidak jumpa dalam mimpi.Ana jumpa betul-betul,dalam sedar.Bercakap dengan Rasulullah macam ana bercakap dengan anta sekarang ni," Ayah Syeikh menjawab soalan saya.

Saya terkejut dan terkedu.Terkebil-kebil saya memandang lelaki itu.Speechless.Pun begitu saya bertanya juga apakah beliau maksudkan itu sebagai yakazah?

Ayah Syeikh mengerutkan dahinya mendengar soalan saya seraya bertanya yakazah itu apa?Saya tidak menjawab sekadar menanti penjelasan seterusnya.

Ayah Syeikh bercerita tatkala sedang berzikir didatangi oeh 'Rasulullah' yang mencadangkan nama Ustaz Badrul Amin atau Ustaz Harun Din atau Ustaz Muhamad Nur Manutty atau Tok Guru Nik Aziz untuk 'berikhtiar' bagi mendapatkan harta karun dan duit tersebut.

Dengan begitu bersungguh Ayah Syeikh menceritakan pengalaman beliau.Ayah Syeikh meminta tolong untuk segera berhubung dengan Ustaz BadrulAmin;malah bersetuju untuk membahagikan harta tersebut dengan nisbah 50:50 selain berjanji untuk memberikan infaq (istilah yang beliau sebut) kepada KEADILAN dan PAS.

Saya tidak memberikan sebarang komitmen dan saya dengan terusterang memaklumkan saya tidak dapat membantu didalam hal ini kerana tidak terjangkau oleh fikiran saya.Saya tidak tahu apakah Ayah Syeikh,Awang dan teman-teman mereka berpuashati dengan saya.

Cuma sekali sekala ada juga saya terjumpa dengan Pak Syeikh dan Awang di bandar Temerloh.Saya sekadar mengangkat tangan tanda hormat.Tidak pernah saya menceritakan kepada Ustaz Badrul Amin tentang cerita ini;saya percaya jika saya ceritakan kepada Ustaz Badrul Amin,anak Bugis ini akan ketawa besar!

Ceritera Ketiga

lebih kurang sepuluh tahun yang lalu di Temerloh ada seorang pengurus bank yang cukup dihormati oleh masyarakat.Penampilan nya begitu tawadhuk dan zuhud-beliau pernah memberitahu saya tidak mahu memakai kasut yang bertumit tinggi kerana bunyi yang dihasilkan oleh tumit kasut yang berlaga dengan jalan membayangkan sifat angkuh dan riak.

Saya rapat juga dengan pengurus bank ini kerana penampilannya yang sedemikian rupa serta halus tutur katanya.Sering saya berbual dan bertukar fikiran dengan beliau khususnya yang berkaitan dengan agama dan gerakan Islam.

Kemudian saya dapati pengurus bank ini secara tiba-tiba berubah.Daripada cara berpakaian yang kini berkemeja lengan panjang serta bertalileher,sesuatu yang begitu asing kepada beliau,sehinggalah memakai sepatu bertumit tinggi.Ketika itu di Temerloh heboh dengan cerita pelaburan alam ghaib, di mana mereka yang melabur RM 1,000 akan mendapat pulangan dalam tempoh tujuh hari, sembilan hari, tigabelas hari, duapuluh tujuh hari atau empatpuluh hari dalam jumlah ratusan ribu ringgit sebagai pulangan.

Daripada cerita yang saya perolehi bahawa pengurus bank ini bersama dengan seorang ustaz yang katanya hafaz Quran dapat berhubung dengan jin Islam daripada kerajaan Islam di alam ghaib yang ingin membantu umat Islam di Malaysia dengan membahagikan wang.Ada juga cerita yang saya perolehi bahawa pemimpin jin Islam di alam ghaib itu sebenarnya mengeluarkan zakat kepada umat Islam di Malaysia ini.

Ustaz yang hafaz Quran tersebut beroperasi di Bahau.Maka berduyun-duyunlah orang Temerloh termasuk juga para peneroka Felda pergi ke Bahau untuk melabur bagi mendapatkan wang daripada alam ghaib.Saya diberitahu modus operandinya setiap mereka yang ingin melabur akan berjumpa secara empatmata dengan ustaz ini dan akan melafazkan akad bersaksikan naskah Al-Quran bertulis tangan.

Kerana tidak dapat menahan rasa ingin tahu saya yang membuak maka pada suatu hari saya pergi berjumpa dengan pengurus bank tersebut. Pengurus bank dengan dan penuh keyakinan memberitahu saya yangbeliau telah menulis surat perletakkan jawatan sebagai pengurus bank serta mereka telah menyewa beberapa tingkat bangunan di KLCC.Saya bertanya kepada beliau apa sebenarnya yang berlaku.

Pengurus bank tersebut memberitahu saya bahawa wang akan sampai yang merupakan infaq daripada kerajaan jin Islam.Wang tersebut bertujuan untuk membantu umat Islam di Malaysia. Saya terus bertanya kenapa tidak dibantu umat islam di Somalia yang sedang kebuluran.Saya kira dengan sedikit jengkel pengurus bank ini menjawab bahawa kali ini giliran Malaysia dahulu,negara Islam yang lain kemudian.

"Anta kena yakin.Anta yakin atau tidak kepada alam ghaib?Anta yakin kepada alam malaqut?"
Soal beliau kepada saya dengan emphasised kepada kalimat yakin tersebut yang ditutur seolah-olah orang Arab yang bercakap.

Saya hampir terpengaruh juga dengan penjelasan pengurus bank ini.Kembali ke pejabat saya menghubungi rakan baik saya Rozilan mengajak beliau ke Bahau untuk turut serta.Saya mencadangkan pelaburan separuh-separuh dengan Rozilan.Tetapi alhamdulillah kewarasan saya mengatasi sifat tamak ; kami tidak pergi ke Bahau.

Tidak lama kemudian pecah berita bahawa ustaz yang hafaz Quran tersebut ditahan oleh pihak polis dan ramai orang Temerloh yang kerugian puluhan ribu ringgit kerana mempercayai dongeng ini.

Ketiga-tiga ceritera ini adalah kisah benar daripada pengalaman saya sendiri.Kepada saya teladan yang diperolehi ialah orang Melayu masih lagi berada di dalam situasi yang pemikiran mereka bukan sekadar jumud tetapi memperlihatkan sifat yang jelek mahu kaya dengan cara mudah serta mudah terpengaruh.Mungkin inilah yang disebut sebut sebagai ciri fatalisme yang ada dalam diri orang Melayu.

Di abad keduapuluhsatu ini tentulah sesuatu yang menduka citakan kerana orang Melayu masih lagi gagal membebaskan diri mereka dari ketahyulan,kurang percaya diri, enggan bermandiri dan mudah mempercayai segala yang berselimut dengan label agama.Kerungsingan saya bersebab kerana selagi oang Melayu tidka berani untuk berkerja keras,berusaha, bermandiri serta masih lagi terikat dengan ketahyulan maka selagi itulah orang Melayu akan gagal bersaing dan akan selamanya membenarkan diri mereka dieksploitasi.

Glossari:

* Kawan-saya/aku

**Rodong-teman/sahabat/kawan