Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Tuesday, March 9, 2010

UNDANGAN KE PROGRAM "BiCaRa AnAk MuDa"



Pelan lokasi program:

Semua Di Jemput Hadir dan sukacita sekiranya dapat memanjangkan undangan ini kepada teman-teman lain.

Monday, March 8, 2010



SELAMAT MENYAMBUT HARI KETUANAN RAKYAT ( 8.3.2010.)

Setahun yang lalu,Dato Seri Anwar Ibrahim telah memberikan pidato kebangsaan yang cukup berkesan dan relevan serta sesungguhnya memperlihatkan pandangan jauh beliau untuk membina negara-bangsa yang lebih gemilang.

Bagi mengingatkan semula maudhuk Pidato tersebut,sila jengah:http://lanailestari.blogspot.com/2009/03/pidato-ketuanan-rakyat-oleh-dato-seri.html

Kepada saya peribadi,terlepas dari dilihat memuji-memuja melulu,pidato tersebut merupakan blueprint serta acuan dan resepi dalam upaya kita membina negara-bangsa yang demokratiks,adil,saksama,bersatupadu serta katalis bagi kemakmuran negara.

Tentunya pidato tersebut (dan mudhuknya) akan hanya menjadi dokumen usang tanpa nilai jika gagal di hayati dan di realisasikan.Maka upaya berterusan ketimbang segala hambatan yang ada,setiap dari kita,yang benar-benar mencintai bumi bertuah ini,berkewajiban memperjuangkannya.Pilihan kita terlalu terhad-duduk santai sekadar melihat negara ini hancur ditangan mereka yang rakus atau bangkit berdiri dan melawan.

Pidato kebangsaan setahun yang lalu tentunya menyerlahkan citra Sdr.Anwar Ibrahim sebagai Negarawan.

Maka itu,kembalilah kita memperkasakan semangat,iltizam dan upaya kita untuk membina negara tercinta ini,untuk menyelamatkan Malaysia dari kehancuran oleh tangan-tangan rakus pemimpin UMNO/BN.

Berjuang Terus!

Monday, March 1, 2010

RESEPSI BUKU TULISAN HASHIM ABDULLAH




Tajuk: Perjuangan Memartabatkan Bahasa Malaysia:Satu Dokumentasi Sejarah PAS Pahang

Pengarang:Hashim Abdullah


Penerbit:Jabatan Penerangan PAS Pahang (JAPEN)


Mukasurat:54 halaman

Harga:RM8.00




"Buku ini adalah buku tipis yang tebal",Sasterawan Negara Dato A.Samad Said




Buku ini ditulis oleh sahabat saya,Sdr Hashim Abdullah,mantan wartawan dan kolumnis Harakah serta pelbagai penerbitan alternatif yang lain. Hashim Abdullah bukanlah nama yang asing di Temerloh kerana beliau merupakan aktivis PAS yang aktif dan benar-benar menjiwai perjuangan.




Justeru itu,bukanlah sesuatu yang memeranjatkan apabila beliau mengambil inisiatif untuk mengumpul bahan yang berkaitan perjuangan menobatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan didalam erti kata yang sebenarnya untuk didokumentasikan didalam sebuah buku.Hashim Abdullah,dewasa ini menjabat jawatan Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pahang (JAPEN),tentunya begitu hampir dengan perjuangan memartabatkan Bahasa Malaysia kepada kedudukkanya yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.Tambahan pula,dengan fahaman politik yang beliau anuti yang secara jelas memperikan tuntutan memartabatkan Bahasa Malaysia.




Maka saya melihat buku ini dilahirkan dari 'rasa' dan dari 'dalam diri' pengarangnya yang mungkin dek kerana geram teramat sangat terhadap polisi Kerajaan UMNO/BN memperkotak-katikkan Bahasa Malaysia dengan memperkenalkan dasar PPSMI atau mungkin juga Hashim Abdullah tidak rela melihat pengkhianatan keatas kedaulatan Bahasanya di injak demi kepentingan materialistiks Pemimpin berjiwa 'sahaya'.




Buku yang diterbitkan oleh JAPEN ini mengandungi 16 bab tidak termasuk Prakata dan Mukaddimah memperincikan tentang perjuangan menentang PPSMI dari sudut pandang PAS.Jadi tidak berlebihan buku kecil ini turut boleh dianggap sebagai propaganda PAS didalam upaya parti politik itu memperjuangkan Bahasa yang sekaligus menentang PPSMI yang kemuncaknya Kerajaan terpaksa mengakui PPSMI merupakan dasar yang tersasar dan silap.




Maudhuk hujjah pengarang didalam buku ini ialah kepentingan material yang telah membuta pintu hati dan akal budi pimpinan UMNO meminggirkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengantar apabila dengan semberono memperkenalkan PPSMI.Pengarang juga menoleh kebelakang menarik perhatian khalayak bahawa UMNO seawal tahun 1965 telah mula menunjukkan belang sebenar fikrah mereka yang tidak menghormati pusaka bangsa tatkala memperkenalkan dasar yang meminggirkan tulisan jawi.




Ertinya,jika ditelusuri sejarah,maka akan terlihat bahawa sesungguhnya UMNO bukan sekadar tidak bersungguh-sungguh untuk memartabatkan Bahasa malah UMNO dilihat sebagai pengkhianat Bahasa!




Bertolak dari sini,saya melihat wejangan Hashim Abdullah yang merungkai kepalsuan dan hipokrasi UMNO didalam upaya dan perjuangan memartbatkan bahasa.Kepada Hashim (dan tentunya rakyat yang mahu berfikir) neraca timbangan UMNO ketika mengubal PPSMI ialah tuntutan materialistiks semata-mata;congak mereka hanya sekadar untuk mencari laba dengan memperlekehkan Bahasa yang tentunya pada masa yang sama memperjudikan masadepan anak-anak dibangku sekolah.




Cuma sedikit terkilan,pengarang tidak menelusuri serta merakamkan dengan terperinci catatan sejarah perjuangan PAS (maksudnya bukan sekadar isu PPSMI ataupun Seminar yang dianjurkan oleh PAS Pahang) sejak sekian lama berkaitan upaya memartabatkan Bahasa Melayu.Bab 11 buku ini dibawah tajuk Sejarah PAS Dalam Perjuangan Bahasa hanya disentuh sambil lalu sahaja oleh pengarang.Saya mengharapkan ada dokumentasi yang tuntas peranan yang dimainkan oleh PAS sejak penubuhannya tahun 1955 hingga ke mutakhir ini.




Malangnya pengarang hanya menyebut sepintas lalu tentang hal ini sambil merujuk kepada fasal 6(7) Perlembagaan PAS.Tidak ada langsung di catatkan sikap pemimpin-pemimpin PAS terdahulu tentang isu Bahasa;malah alangkah baiknya jika turut dimuatkan ucapan (atau petikan ucapan) pimpinan PAS terdahulu berkaitan perjuangan memartabatkan Bahasa Malaysia sebagau bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu.




Pun begitu,tidak pula bererti buku ini menjadi kurang nilainya;malah meminjam kata-kata Pak Samad Said SN sewaktu meluncurkan buku ini di Kerdau,walaupun buku ini nipis namun ianya tebal bukannya buku tebal tapi nipis.Sesungguhnya buku ini tebal dengan rakaman perjuangan menobatkan Bahasa dan tebal dengan semangat serta kecintaan Hashim Abdullah terhadap bahasa ibundanya yang tidak rela diperlecehkan oleh pemimpin yang berjiwa 'sahaya'.




Buku ini wajar dimilikki oleh semua orang.Dengan bahasa yang mudah dan tidak bombastiks pengarang telah berjaya merakamkan detik penting sejarah tanahair iaitu perjuangan memartabatkan Bahasa dan menentang PPSMI.Kepada saya buku ini cukup bermakna sebagai tanda ingatan bahawa soal Bahasa tidak boleh dengan sewenang-wenangnya di perjudikan demi mencari keuntungan dan inilah yang harus diarifi oleh kita semua didalam upaya dan perjuangan kita membina negara-bangsa.




Buku ini boleh diperolehi di Pejabat JAPEN di Temerloh atau membuat pesanan terus kepada Sdr.Hashim Abdullah melalui nombor telefon berikut: 019 9646900




Kerana Aku Bahasa

KERANA AKU BAHASA


Berkurun lamanya aku bernafas dalam diri pejuang
saat Tanah Melayu yang tangannya masih tergari
jantung dan denyut nadiku sudah lama bersatu
roh perjuangan suci, citanya mahu mencantas lidah penjajah
aku menetas dari minda para cendekia tanpa nama
aku membiak dari bibir ke bibir pendeta berjiwa merdeka
comotnya baju, rabaknya kasut dan pensel seinci
adalah lambang derita jiwa yang panjang dan lama
di tanah ini hasratku satu, lidah ibu wajib menjadi teraju.

Ketika jerit merdeka masih terapung di udara
dan acung tangan belumpun jatuh dengan sempurna
tanpa berlengah pejuang menulis di batu nesan penjajah
ya, angka keramat itu: satu ratus lima puluh dua
segalanya tercatat di batu bersurat kemerdekaan
di bilik darjah anak-anak diajar mengenal angka satu
mengeja aksara baru dengan lembut lidah ibu
meski baju, kasut dan pensel masih begitu
namun jiwaku bebas melintas sempadan hamba.

Dari rahim cendekia lahir berpuluh ribu zuriatku
di lembar kamus dan jutaan buku aku subur di situ
di gedung pustaka dan puncak menara aku rimbun di sana
segala cabaran disambut dengan tabah keyakinan
segala anjakan kuturut dengan penuh kerelaan
dari daerah papan batu ke wilayah canggih LCD
dari sekecil angka satu ke formula serba baru
dari sempit bilik darjah ke luas dewan kuliah
dari kamar bicara ke mimbar khutbah
segalanya menjadi saksi kepada kemenangan itu

Setelah jauh berjalan diduga berliku cabaran
di leher bergantungan bangga pingat kejayaan
tiba- tiba oleh sepasang bibir curiga
aku diusir dengan helah seribu madah
hanya kerana mimpi seorang sahaya
dari kamar angka aku diusung punggah
dari makmal ujikaji aku ditunjukkan pintu
aku menjadi sebiji guli bergolek di meja- meja lonjong
lama aku umpama kubu yang teguh
kini sekenyit mata, bertukar menjadi debu yang rapuh.

Kerana aku bukannya patung yang celik mata tetapi buta hatinya
kerana aku bukannya patung yang mampu tersenyum meski tubuhku diinjak
kerana aku bukannya patung yang melintuk di telunjuk angin
kerana aku bahasa yang punya rasa,
maka aku kembali berlari di lebuh perjuangan ini
mencari kebenaran yang kian jauh
di tengah amuk racun yang mencucuk mata.



Sahrunizam Abdul Talib,
Bera, Pahang.
05 Jun 2009

Thursday, February 25, 2010

Hakmilik:Peneroka FELDA mengadu pada Suhakam

Abdul Rahim Sabri Feb 24, 10 7:05pm
Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) hari ini menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung dakwaan pelanggaran hak asasi, diskriminasi dan dakwaan berlakunya penipuan oleh Felda.




Memorandum tersebut diserahkan oleh presidennya Mazlan Aliman (kiri) kepada pesuruhjaya suruhanjaya tersebut Datuk Khalid Ibrahim (kanan) di pejabatnya kira-kira jam 3.30 petang ini.

Turut hadir ialah barisan peguam yang ketuai oleh Ahmad Nizam Hamid serta beberapa pemimpin Pakatan Rakyat, antaranya ahli parlimen Batu Tian Chua dan ADUN Port Dickson M Ravi. Kira-kira 100 peneroka hadir dalam majlis penyerahan memorandum tersebut kepada Suhakam.

Dalam memorandum tersebut, persatuan itu menyenaraikan beberapa aduan termasuk dakwaan diskriminasi terhadap 25,000 peneroka yang mengendalikan sendiri kebun mereka selepas melangsaikan bayaran hutang.

"Tanah mereka itu, sudah selesai bayaran hutangnya, tetapi sampai hari ini, mereka tidak dapat hak milik," kata Mazlan dalam aduannya kepada Khalid.


Beliau yang juga ahli jawatankuasa pusat PAS juga mendakwa terdapat peneroka menerima ugutan daripada Felda, termasuk dakwaan akan disingkirkan dari tanah rancangan.Menurutnya, terdapat sesetengah peneroka Felda telah menggunakan pelbagai cara untuk mendapatkan hak milik tanah mereka itu, termasuk membuat laporan polis, berjumpa dengan menteri dan membawa perkara tersebut ke mahkamah.

Dalam memorandum tersebut, peneroka juga menuntut hak mereka yang telah dinafikan oleh agensi kerajaan itu selama ini, antaranya wang tanam semula sebanyak RM17,000 yang tidak diterima mereka sehingga hari ini.Selain itu, mereka juga mendakwa dinafikan hak, antaranya, untuk mendapat bantuan tanam semula Risda bagi tanaman getah, lesen menjual hasil sawit dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) serta bantuan pendidikan dan pinjaman usahawan.


Dalam aduannya juga, Mazlan turut mendakwa Akta Penempatan Beramai-ramai (GSA) 1960 telah menjadi "senjata" agensi kerajaan itu untuk mengawal selia keseluruhan aktiviti dan kegiatan peneroka.

"Mereka akan menyebut akta ini termasuklah berhubung pengurusan ladang, dan kegiatan aktiviti peneroka mengikut tafsiran felda. Dan peneroka tidak boleh buat apa-apa," kata Mazlan.


Memorandum itu juga mendakwa akta tersebut membolehkan penguasaan tanah rancangan secara langsung dalam bentuk syarat nyata yang tertulis dalam surat hak milik peneroka, sama ada secara tersirat atau tidak nyata.

Akta itu, menurut memorandum tersebut, tidak membenarkan tanah mereka digadai, dipecah-pecahkan atau dibahagikan dan diserahkan kepada seorang penama sahaja.Akta ini, kata peneroka terbabit, telah menimbulkan konflik dalam keluarga dari sudut pembahagian pusaka, hak peneroka terhadap tanah dan masa depan generasi kedua.

Memorandum itu juga mendakwa, peneroka terpaksa menandatangani beberapa perjanjian untuk mendapat hak milik tanah, termasuk perjanjian penanaman semula yang diperkenalkan beberapa tahun dahulu.Peneroka juga didakwa tidak mendapat salinan surat perjanjian tersebut dan felda juga boleh bertindak hingga ke tahap mendapatkan 'kaveat' tanah peneroka.


Dalam majlis tersebut juga lima wakil peneroka felda dari pelbagai negeri turut mengemukakan aduan lisan mereka kepada Khalid, yang rata-ratanya berkisar mengenai masalah yang dibangkit itu.

Sementara itu, Khalid berkata bagi pihaknya tidak pernah menerima aduan berhubung masalah yang dihadapi oleh peneroka.

"Kami hanya mendengar yang elok-elok sahaja, yang tidak ada masalah. Oleh sebab itu, kita mahu mendengar sendiri dari peneroka sebagai langkah pertama untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.


Beliau berkata, pihaknya juga akan mendapatkan penjelasan daripada Felda sendiri berhubung aduan yang dikemukakan oleh persatuan tersebut.Sehubungan itu, para pesuruhjaya Suhakam akan bermesyuarat pada 8 Mac depan untuk mengkaji dan menentukan tindakan mereka berhubung aduan yang diterima itu, termasuklah membuat siasatan nasional sekiranya sukar untuk mendapatkan maklumat.


"Kita tidak ada kuasa untuk memaksa kerajaan mesti buat itu, mesti buat ini. Kita hanya menyampaikan kepada kerajaan, maklumat yang tidak menyebelahi mana-mana pihak," katanya.

Manakala Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pula memberitahu pemberita sebelum penyerahan memorandum tersebut bahawa sebagai ahli parlimen, akan membahaskan akta Akta Penempatan Berkelompok 1960 (GSA) dan masa depan Felda dalam sidang parlimen yang akan bermula 15 Mac ini.


Beliau yang juga ahli parlimen Kubang Kerian berkata, akta tersebut menindas peneroka dan sudah tiba masanya akta tersebut di semak semula.

Terdapat 112,635 peneroka di Malaysia di 317 tanah rancangan Felda di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, tiga buah negeri yang mempunyai jumlah peneroka yang ramai iaitu Pahang (43,123); Johor (27,641) dan Negeri Sembilan (16,429) orang.Felda Lurah Bilut di Bentong yang dibuka pada 1958 adalah rancangan Felda yang terawal dengan projek penanaman getah, manakala Felda Taib Andak di Kulai Johor dibuka pada 1961 untuk penanaman kelapa sawit.
*Sumber berita:MalaysiaKini (http://www.malaysiakini.com.)

Wednesday, February 24, 2010

ANAK minta SUHAKAM siasat dakwaan FELDA tindas peneroka


KUALA LUMPUR, 24 Feb: Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda SeMalaysia (Anak) meminta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengadakan siasatan awam terhadap Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kerana didakwa melakukan penindasan berterusan kepada peneroka.
Cadangan itu dikemukakan oleh Pengerusi Anak, Mazlan Aliman dalam dalam satu pertemuan dan penyerahan memorandum kepada Suhakam di pejabat suruhanjaya berkenaan, petang tadi.
"Untuk lebih adil, saya minta satu public inquiry (siasatan awam) dibuat untuk mendengar sendiri aduan peneroka dan perkara ini dipanjangkan untuk tindakan yang lebih lanjut," katanya.
Mazlan mengetuai kira-kira 200 peneroka tanah rancangan Felda dari Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Johor untuk menyerahkan memorandum kepada Suhakam berkenaan beberapa perlanggaran hak asasi dan ketidakadilan pengerusan Felda ke atas peneroka setelah lebih 50 tahun ia diwujudkan.
Memorandum tersebut mengandungi empat aduan daripada peneroka termasuk mengenai Akta Kawasan Tanah Berkelompok (Group Settlement Act 1960) yang didakwa digunakan oleh kerajaan Umno/BN untuk mengongkong kebebasan para peneroka.
Anak juga membuat aduan mengenai wang tanam semula yang dicarum peneroka yang sehingga ke hari ini tidak diserahkan kepada peneroka.
Selain itu, aduan dibuat juga berkaitan isu ladang Felda apabila pihak pengurusan Felda bertindak menindas peneroka selain mengenai kegagalan peneroka menguruskan sendiri kebun mereka walaupun telah melangsaikn hutang kepada Felda.
Aduan itu didengar dua Pesuruhjaya Suhakam, Datuk N. Subramaniam dan Datuk Khalid Ibrahim di tingkat 29 Bangunan Suhakam, sebelum menerima memorandum daripada Mazlan.
Mazlan dalam aduannya kepada Suhakam juga berkata, semua jawatankuasa yang ditubuhkan pengusan Felda tidak berpihak kepada golongan peneroka yang tidak bersetuju dengan perjanjian yang ditetapkan Felda itu menyebabkan peneroka tida tempat untuk mengadu masalah mereka.
"Sebutlah jawatankuasa apa pun di bawah Felda, semuanya tidak berpihak kepada peneroka. Kewujudan Gabungan Persatuan Wanita (GPW) di tanah-tanah rancangan menjadi mata dan telinga kepada Felda," katanya.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah peguam yang mewakili Anak iaitu Ahmad Nizam Hamid dan Suhaimi Said.
Ahmad Nizam mendakwa, perjanjian yang dibuat di antara Felda dan peneroka adalah berat sebelah dan keterlaluan.
"Perjanjian itu tidak ada tarikh tamat. Kalau ikut perjanjian tersebut, peneroka akan terikat dengan Felda dan bila sebut peneroka, ada terma yang mengikat waris, anak, cucu dan sebagainya akan terikat juga dengan Felda," katanya.
Khalid dalam responsnya dalam pertemuan itu mengakui tidak pernah mendengar sebarang aduan buruk berkaiatan Felda dan tidak menyangka terdapat banyak masalah yang membelenggu para peneroka di seluruh negara.
Pengerusi Kumpulan Kerja Aduan dan Siasatan Suhakam itu berjanji akan membincangkan aduan itu ke mesyuarat suruhanjaya pada 8 Mac depan dan akan turut mendapatkan penjelasan daripada Felda berhubung aduan itu.
Beliau juga berkata, pihaknya akan mengkaji keperluan untuk mengadakan siasatan awam seperti yang dicadangkan Anak.
"Kami menerima memorandum yangakan diserahkan pada hari ini adn akan mengkaji seluruh aduan yang dibuat sebelum membuat keputusan samaada akan mengadakan siasatan awam atau tidak. Ini bukan lagi public inquiry, tapi national inquiry kerana melibatkan seluruh Malaysia," ujarnya.
Dalam pada itu, bercakap kepada media sebelum pertemuan dengan Suhakam, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub yang juga Naib Presiden PAS berjanji akan terus membawa isu penindasan peneroka dalam perbahasan Dewan Rakyat yang akan berlangsung pada 15 Mac depan.
"Kami di pihak Ahli Parlimen tidak pernah putus asa berdebat mengenai isu peneroka di Dewan Rakyat.
"Saya berjanji di atas nama ahli Parlimen bahawa kita akan tetap membahaskan mengenai akta GSA ini dan ia merupakan satu topik yang penting kerana GSA cukup menindas dan mencengkam peneroka," katanya.
Nada yang sama turut disuarakan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang mahukan nasib golongan peneroka dibela.
"Kita akui sumbangan Felda kepada perkembangan ekonomi negara. Tapi peneroka masih menghadapi banyak masalah di bawah Felda. Sebab itu kita setuju bersama gabungan ini untuk mengambil isu ini secara serius dan mengkaji dasar sekarang supaya kita benar-benar menghargai sumbangan para peneroka," katanya.
Peguam Anak, Suhaimi pula berkata, pihaknya bersedia untuk mengendalikan semua kes melibatkan tuntutan peneroka tanpa sebarang bayaran.
"Kami telah berjanji dengan anak bahawa kami akan mengambil semua kes melibatkan generasi felda. Di konvensyen peneroka baru-baru ini pun kami berjanji akan membela nasib peneroka tanpa mengenakan bayaran," katanya.


*Sumber berita dari HarakahDaily (http://www.harakahdaily.net/v2/)

Tuesday, February 23, 2010

Abah accident...




Ahad,21.2.2010,sedang bersantai dengan Suhail hp berbunyi;dengan sedikit jengkel aku mengangkat telefon.Dihujung corong terdengar suara adik,Cik Mie:"Abang,abah accident..."

Serasa seperti berhenti denyut jantungku mendengar suara dari hujung corong.






"Kereta je rosak,Abah alhamdulillah tak ada apa,"begitu jelas Cik Mie seterusnya.
Segera aku menukar pakaian dan mencapai kunci kereta.Bergegas aku memandu untuk pulang ke Chenor.

Rupanya Abah terbabas di Simpang Chenor.Abah memandu Pajeronya dari Chenor menghala Simpang Chenor,tiba-tiba terbabas menyeberang jalan besar Temerloh-Maran dan melanggar signboard sebelum kereta beliau terhenti kerana tersangkut di busut kecil.Jika tidak ada busut ada kemungkinan besar akan terus menuju ke ladang sawit.
Aku memanjatkan sebesar syukur kepada Allah SWT kerana Abah selamat,tidak cedera dan tidak melibatkan orang lain.Kereta rosak,ya,boleh dibaiki.

Tidak dapat ku bayangkan jika kereta Abah bertembung dengan kenderaan lain yang pada kebiasaannya sentiasa menghilir-mudik di jalan besar Temerloh-Mentakab.
Tidak dapat aku bayangkan jika kereta Abah terlanggar orang ramai yang kebiasaannya sentiasa ramai di Simpang Chenor.
Sungguh!Terlalu ngeri untuk dibayangkan jika itu yang terjadi.Sesak nafasku membayangkan jika Abah mengalami kecederaan.
Ya Allah,aku memanjatkan syukur yang teramat sangat diatas rahmatMU,diatas pertolonganMU kerana melindungi ayahandaku,kerana menjauhkan ayahandaku dari cedera dan kemalangan yang lebih teruk.Terima kasih Ya Tuhan kerana menjaga ayahandaku.Terima kasih Wahai Tuhanku.
Petang itu,selesai membuat laporan Polis di Balai Polis Kg.Awah aku membawa Abah ke Klinik Sulaiman Temerloh untukdibuat pemeriksaan.Alhamdulillah menurut Dr.Halim,Abah ok,malah tekanan darahnya cukup baik walaupun baru melalui pengalaman ngeri.Aku cukup gembira dan besyukur.
Saya dan keluarga turut mengucapkan terimakasih dan penghargaan kepada teman-teman di Chenor khususnya Sdr.Lan kerana membantu dan memberikan pertolongan.Hanya Allah Azzawajalla sahaja yang dapat membalas budi tuan.