Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Thursday, June 24, 2010

Himpunan Berita Dari Suara Keadilan


Kes Yahya Shaari: Timbalan Presiden KEADILAN Beri Keterangan
Oleh Frederick Luccas
SHAH ALAM 24 Jun - Perbicaraaan kes penyelewengan dana oleh bekas Pegawai Khas Kepada Menteri Besar Selangor, Mohd Yahya Shaari diberitahu pembukaan akaun bank tidak memerlukan resolusi daripada KEADILAN tetapi memerlukan kebenaran Majlis Pimpinan Tertinggi untuk memilih penama dan kemudian mendapatkan dokumen rasmi daripada parti untuk tujuan pengesahan oleh pihak bank.

Demikian keterangan Timbalan Presiden KEADILAN, Senator Dr Syed Husin Ali ketika diminta menjelaskan berkenaan prosedur parti berkenaan resolusi untuk membuka akaun menggunakan nama KEADILAN.

Perkara ini disahkan oleh saksi kedua iaitu bekas Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Salehuddin Hashim.

Beliau bersetuju dengan keterangan Dr Syed Husin berkenaan keperluan resolusi untuk membuka akaun bank bagi pihak parti.

Salehuddin juga ditanya oleh Timbalan Pendakwaraya, Roziza Sidek samada beliau sedar atau diberitahu berkenaan pembukaan akaun Maybank oleh Mohd Yahya.

Salehuddin berkata beliau tidak tahu mengenai perkara itu dan tidak diberitahu berkenaan pembukaan akaun itu.

Dr Syed Husin pada mulanya dijangkakan akan memberikan keterangan hari ini tetapi atas sebab tertentu pihak pendakwaraya telah memanggil beliau untuk memberi keterangan lebih awal.

Selain Dr Syed Husin dan Salehuddin, pihak pendakwaraya juga memanggil pegawai Perbendaharaan Kerajaan Negeri Selangor.Pegawai Perbendaharaan Kerajaan Negeri Selangor diminta menjelaskan berkenaan prosedur pembayaran, proses yang perlu dilalui sebelum meluluskan cek pembayaran dan penama yang perlu menandatangani cek berkenaan.

Prosiding menjurus kepada hujah pendakwaraya untuk membuktikan kaedah penipuan yang didakwa digunakan oleh Mohd Yahya.

Mahkamah menangguhkan perbicaraan setelah mendengar keterangan dan pengesahan oleh saksi dan akan disambung pukul 8 pagi hari ini.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dijangka memberi keterangan pada tengahari bersama Pengerusi Eksekutif Kumpulan Darul Ehsan Berhad, Datuk Abd Karim Munisar.




Oleh Frederick Luccas

SHAH ALAM 23 Jun - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden KEADILAN, Senator Dr Syed Husin Ali dijangka memberi keterangan di Mahkamah Sesyen tengahari esok dalam perbicaraan bekas Pegawai Khas Menteri Besar, Mohd Yahya Shaari

Semalam perbicaraan mendengar keterangan daripada lima saksi pihak pendakwaraya berhubung pengesahan keterangan saksi kepada polis dan pengecaman oleh saksi dan tertuduh.

Kelima mereka adalah Ketua Cabang KEADILAN Serdang, Hamidi Abu Hasan, Supari Tinnin, salah seorang daripada panel yang menandatangani cek yang dikeluarkan kepada Yahya, dan pegawai bahagian korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan iaitu, Hassan Manaf, Syukri Hazim dan Azlinda.

Menurut peguam R Thirukumaran pendengaran keterangan menumpukan kepada keterangan saksi dan mengesahkan keterangan saksi berkenaan bidang tugas mereka dan tertuduh.

"Kita berpuashati dengan keterangan yang diberikan hari ini dan mendapati ia tidak prejudis terhadap Yahya," jelas Thirukumaran.

Mohd Yahya menghadapi dua tuduhan menipu dan menggunakan dokumen palsu di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan bagi mendapatkan sumbangan membabitkan peruntukan bernilai RM50,000 dua tahun lalu.



Oleh Frederick Luccas

SHAH ALAM 22 Jun - Perbicaraan terhadap bekas Pegawai Khas Menteri Besar Selangor, Mohd Yahya Shaari, 43, bermula semalam di Mahkamah Seksyen Shah Alam atas dua pertuduhan iaitu menipu dan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan sumbangan.

Beliau yang merupakan ahli politik bagaimanapun mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan terhadap dua tuduhan tersebut membabitkan peruntukan bernilai RM50,000 dua tahun lalu.

Bagi tuduhan pertama, beliau yang merupakan Pengarah Program Sambutan 100 Hari Pakatan Rakyat didakwa menipu Pengerusi Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB), Datuk Karim Munisar, 59, dengan memperdayakannya bahawa Sekretariat Pakatan Rakyat memohon sumbangan bagi program itu sehingga mangsa menyerahkan RM50,000 kepadanya.

Beliau yang mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan didakwa melakukan kesalahan itu di Gardenia Coffee House, Hotel Quality di sini, antara 1.00 dan 3.00 petang pada 4 Jun 2008.
Jika disabit dengan kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda.

Manakala bagi pertuduhan kedua, Mohd Yahya didakwa menggunakan dokumen iaitu ‘Resolusi Pembukaan Akaun untuk Parti Keadilan Rakyat Selangor’ yang didakwa sebagai tulen.
Mohd Yahya didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank cawangan Bandar Sunway pada 14 Mei 2008.

Bagi pertuduhan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mohd Yahya yang juga bekas Setiausaha Perhubungan KEADILAN Selangor mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Beliau sebelum ini dibebaskan dengan ikat jamin berjumlah RM10,000 oleh seorang penjamin.
Pertuduhan ke atas beliau dibacakan oleh Timbalan Pendakwaraya Roziza Sidek, manakala penghakiman dijalankan di hadapan Majistret Tuan Ahzariz Teh Azman Teh.

Mohd Yahya Shaari diwakili oleh peguam Ahmad Nizam Hamid dan R Tirukumaran.

Turut hadir bagi memberi sokongan moral kepada beliau dalam perbicaraan tersebut termasuk Timbalan Presiden KEADILAN, Dr Syed Husin Ali, Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid, Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Perak, Mustaffa Kamil Ayub dan Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Muda, Suhaimi Shafiei.

Prosiding bermula pada jam 10 pagi apabila pihak pendakwaan mengemukakan dua orang saksi yang terdiri daripada kakitangan bank yang didakwa berurusan dengan Mohd Yahya iaitu Norkiah Ibrahim dan Nofeta Fareal bagi tujuan pengecaman dan sesi awal soalan dari pasukan pendakwaan.

Soalan berkisar mengenai latar belakang saksi, pengalaman kerja dan urusan formal yang dilakukan oleh kakitangan bank.

Mohd Yahya yang berkot hitam duduk di kandang tertuduh dilihat tenang dalam proses perbicaraan tersebut.

Majistret Tuan Ahzariz Teh menangguhkan prosiding pada jam 12.00 tengahari selepas Timbalan Pendakwaraya Roziza Sidek memohon kepada Majistret untuk memanggil saksi bagi tujuan pengecaman dan membawa bukti berkaitan kes tersebut ke mahkamah.

Mahkamah menyambung prosiding pada jam 8.30 pagi hari ini.

No comments: