Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Wednesday, December 23, 2009

Intermission:Secangkir Kopi Luwak,Royalti Minyak Dan Husam Musa

Kembali dari ziarah ke Kampung Perdamaian Chulaborn Patana 12,kami menuju ke Kota Bahru.Sdr.AmirRuslan memberitahu saya bahawa YB Dato Husam Musa.Exco Kerajaan Negeri Kelantan mengajak makan tengahari bersama beliau.Kami diminta untuk terus ke Salor,ke sebuah rumah makan selepas jambatan Salor sebelah kiri jalan menghala ke KB.


Rumah makan tersebut memang hebat.Penuh dengan pelanggan yang bersesak sehingga terpaksa menunggu meja kosong.Menjenguk kaunter lauk-pauk,berjenis-jenis juadah tersaji (tidak sempat ambil gambar kerana pelanggan yang memilih lauk-pauk ramai);patutlah penuh dengan pelanggan lauk-pauknya pelbagai,bisik hati kecil saya.



Sambil menikmati makan tengahari yang enak,sesudah 'overdosed' tomyam,dengan air tuak yang menyegarkan kami bersembang,tentunya,seputar politik tanahair dan perjuangan beliau bagi menuntut royalti minyak diberikan kepada Negeri Kelantan.

(Foto) Makan tengahari di Salor.Kelihatan Sdr.AmirRuslan sedang bercanda dengan Dato Husam Musa





Saya sempat juga menceritakan tentang pengalaman di Kampung Perdamaian kepada beliau.Husam tertarik dengan cerita kami dan tentunya ada pengalaman yang boleh diteladani khususnya semangat juang yang kental.

Sesudah menyantap hidangan tengahari,Husam menjemput kami singgah ke rumahnya,lebihkurang 15 minit perjalanan dari Rumah Makan.Rumah Exco Kerajaan Negeri Kelantan ini berupa banglo sederhana di kawasan kampung yang di payungi pohon buah-buahan.



Di rumah beliau kami disuguh dengan kopi luwak yang panas dan harum.Sambil menghirup kopi luwak panas dengan santai,saya mengambil kesempatan bertanya tentang isu royalti minyak yang beliau perjuangkan.









(Foto) Dirumah YB Husam Musa,sedang tekun mendengar penjelasan isu royalti minyak.






Ternyata Husam begitu passionate memperjuangkan hak rakyat Kelantan ke atas royalti minyak.Husam menyentuh tentang Perjanjian Negeri-negeri dengan Petronas dalam tahun 1974,kajian yang telah dijalankan oleh beliau dan team-nya,sikap pemimpin UMNO dari Kelantan sendiri dan peranan Najib selaku PM.


Menurut beliau lagi Kelantan berhak kepada bebarapa billion ringgit dari royalti hasil petroleum yang dijarah oleh Petronas (baca:UMNO/BN) selama ini.Kawasan perairan dan pelantar benua sepanjang Pantai Timur Semenanjung,menurut Husam sememangnya kaya dengan hasil petroleum terutamanya gas.Kawasan atau pelantar benua ini dikalangan 'Orang Minyak' dikenali sebagai The Malay Basin.


Husam nampak begitu optimis bahawa Kerajaan Persekutuan akhirnya akan bersetuju untuk membayar royalti petroleum kepada rakyat Kelantan kerana tidak ada sebab untuk menafikan hak Kelantan.Rakyat Kelantan tidak akan menerima apa yang disebut sebagai Wang Ehsan.

"Nothing less than royalty,"demikian tegas Husam.


Husam turut menarik perhatian saya bahawa Pahang juga berhak keatas royalti minyak.Sambil menyatakan persetujuannya dengan ucapan YB Dato Abdul Rahman Mohamad,ADUN Padang Tengku Lips sewaktu persidangan DUN Negeri Pahang baru-baru ini yang meminta Kerajaan Persekutuan/Petronas membayar kepada Kerajaan Pahang wang royalti petroleum.Menurut Husam,gesaan tersebut ada asas yang kuat dan Petronas sebenarnya wajib membayar royalti kepada Pahang.


Husam memberitahu,berdasarkan kajian mendalam yang dibuat oleh beliau,terdapat tiga telaga minyak yang sedang beroperasi samada berada didalam sempadan Pahang mahupun sebahagian daripada telaga atau pelantar tersebut berada ditengah-tengah sempadan Pahang-Trengganu.Malah terdapat kemungkinan besar pelantar-pelantar minyak yang berada di luar sempadan Pahang menyedut minyak dari bawah tanah kepunyaan Pahang.Ada undang-undang dan peraturan tentang hasil petroleum didalam keadaan sedemikian.(Saya teringat antara penyebab Perang antara Iraq-Iran di tahun 1980-an dan penaklukan Iraq keatas Kuwait ialah kerana pertikaian minyak Iraq disedut dengan cara haram melalui bawah tanah).




Masalahnya,menurut Husam lagi,Petronas membuat persempadanan dengan semberono,tanpa mengikut kaedah yang sepatutnya.Mungkin Petronas hanya menggunakan 'pencil and ruler' semata-mata untuk melakar peta sempadan bagi telaga minyak mahupun kawasan ekplorasi.Ini menyebabkan hak rakyat dinafikan.


(Foto) Saya tekun dan teruja mendengar penjelasan YB Dato Husam Musa sambil mencatatkannya kedalam BlackBerry






Tiga pelantar minyak Petronas yang samaada beroperasi di dalam sempadan Pahang ataupun berada di tengah-tengah sempadan Trengganu-Pahang ialah Sotong,Malong dan Andong.Royalti bagi ketiga-tiga telaga minyak ini dibayar kepada negeri Trengganu sejak sekian lama.


Berdasarkan kepada penjelasan Dato Husam Musa tersebut,saya berpandangan bahawa Petronas bertanggungjawab membayar royalti petroleum kepada Negeri Pahang bukan sahaja yang terkini tetapi juga 'back dated'.Petronas perlu mengambil pendekatan professional dan telus didalam isu ini;apa yang menjadi hak kepada mana-mana Negeri maka hak tersebut perlu diberikan.Perjanjian 1974 wajib di patuhi sepenuhnya dan bukan sekadar berlindung dibawah perkara teknikal dan remeh seperti sempadan dan seumpamanya.
Didalam hal ini,saya bersetuju dan menyokong sepenuhnya gesaan dan tuntutan YB Dato Abdul Rahman tempohari agar Petronas/Kerajaan Persekutuan membayar royalti kepada Negeri Pahang dan juga Kelantan tentunya.Petronas perlu berani untuk keluar dari tanggapan bahawa mereka mengikut telunjuk UMNO semata-mata.
Dapat difahami UMNO begitu berat untuk membayar royalti kepada Kerajaan Kelantan diatas pertimbangan politik kepartian yang sempit.Dengan penghasilan yang tidak bergantung kepada petroleum Kerajaan Kelantan diterajui PAS berjaya membangunkan Negeri Kelantan berbanding dengan dengan negeri-negeri waima yang dibawah UMNO/BN.Tidak ada projek mega yang membazirkan wang rakyat mahupun ketirisan didalam mengendalikan khazanah negeri.
Kerana itulah UMNO takut;bayangkan jika wang royalti petroleum diperolehi oleh Kerajaan Kelantan,tentunya pembangunan-yang berbentuk fizikal mahupun kerohanian-akan menjadi lebih rancak,pesat dan lebih membangun.Malah saya percaya dengan fikrah pimpinan Kerajaan Kelantan,akan tiada pembaziran serta benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat ramai.Ini antara sebab UMNO enggan memberikan royalti minyak kepada Kelantan;takut negeri Kelantan akan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain (baca:pengundi) yang melihat walaupun tidak di perintah oleh UMNO/BN tetapi pembangunan lebih pesat.
Selain dari itu,pemikiran feudal dan terkebelakang pemimpin UMNO turut menjadi sebab utama.UMNO ingin sentiasa dilihat sebagai Tuan Besar kepada rakyat,ingin di lihat sebagai Santa Claus,mana-mana yang disukai maka akan diberikan manfaat manakala yang sebaliknya tidak akan dilayan.Kepada UMNO keterbergantungan ini bermakna rakyat akan sentiasa terikat dengan mereka dan (kononnya) akan berterusan menyokong mereka.Itu mitos yang sentiasa dipahat didalam minda rakyat khususnya orang Melayu-hanya UMNO yang pandai memerintah,hanya UMNO sahaja yang paling baik,hanya UMNO yang memperjuangkan agama,bangsa dan negara dan tanpa UMNO negara akan hancur-akan tetapi mitos ini tentunya hari ini sudah berkecai.Namun UMNO masih lagi dengan sindrom-penafian (denial-syndrome) mereka.
Kecenderungan UMNO untuk menganggap harta rakyat dan khazanah negara serta sumber asli sebagai harta sendiri,sebagai harta peribadi,seolah-olah harta makbapak mereka yang boleh difaraidh sesuka hati.Kerana itulah mereka tanpa segan silu mencipta 1001 alasan yang tidak masuk akal untuk menafikan hak rakyat Kelantan (sebelum ini Trengganu) dari menikmati apa yang sesungguhnya menjadi hak mereka.
Maka itu seperti yang dilakukan oleh Pimpinan Negeri Kelantan,Menteri Besar,exco dan kesemua ADUN Pahang samaada dari BN mahupun PR perlu bergerak seiring menuntut agar royalti petroleum dibayar kepada Negeri Pahang.Cuma saya sedikit musykil,apakah Adnan Yaacob dan anak buahnya punya keberanian dan kepedulian seperti rakan sejawat mereka di Kelantan untuk memperjuangkan isu ini?
Sementalahan pula Perdana Menteri Malaysia yang bertanggungjawab secara langsung terhadap Petronas orang Pahang;seharusnya pembayaran royalti ini dapat di permudahkan!Itupun jika Najib ikhlas,telus dan prihatin yang,malangnya, saya gagal melihat ada ciri-ciri ini didalam diri Najib!
Pilihan yang paling tepat ialah untuk rakyat Pahang memperjuangkannya.Suatu task force yang melangkaui politik kepartian dengan diturutsertakan oleh NGO perlu segera di tubuhkan.Segala data,kajian dan masukan-masukan yang tuntas perlu diberikan perhatian untuk mendesak dan menuntut royalti petroleum diberikan kepada Pahang (dan tentunya Negeri Kelantan juga).Dalam hal ini,pada hemat saya YB Dato Abdul Rahman boleh mengepalai task force ini.Parti Keadilan Rakyat dan saya percaya PAS juga bersedia memberikan kerjasama kepada beliau.
Dan seperti yang dikatakan oleh Husam Musa,Kelantan insyaAllah boleh menjadi pengeluar gas asli terbesar di Asia Tenggara sekiranya Kerajaan Persekutuan benar-benar ikhlas menjunjung prinsip Federalisme serta menghormati hak rakyat Kelantan di bawah Perjanjian 1974.
Ketika itu,tentunya saya akan lebih menikmati keenakkan kopi luwak yang berperisa itu.

No comments: