Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Thursday, August 27, 2009

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan Suatu Kemenangan Kepada Demokrasi Dan Hak Asasi Manusia

Hakim kata tindakan polis ceroboh, tangkap di premis sendiri salah
Thursday : 27 August 2009
Bendahari PAS Pusat Dr. Mohd Hatta Ramli, Timbalan YDP PAS Rompin Mazlan Mohamed Yasin dan Ketua Pemuda Rompin Nazri Ahmad menang dalam saman terhadap bekas Ketua Polis Daerah Rompin di Mahkamah Tinggi Kuantan berkaitan kes penangkapan semasa berceramah di premis sendiri lima tahun lalu.
Hakim Datuk Mariana Yahya dalam penghakimannya pada 26 Ogos lalu memutuskan Hanapi Daud (pihak polis) telah secara salah menangkap Dr. Mohd Hatta Ramli, Mazlan Mohamed Yasin dan Nazri Ahmad (plaintif satu, dua dan tiga).
Menurut salah seorang peguam yang mewakili tiga aktivis PAS, Mohd Fadzli Ramli, hakim dalam keputusannya berkata, pihak polis telah gagal menyatakan sebab penangkapan di samping ternyata bersalah menceroboh kediaman persendirian semasa penangkapan itu.
Berikutan itu, hakim memutuskan Hanapi selaku defendan dikehendaki membayar ganti rugi khas, ganti rugi am, ganti rugi tauladan dan ganti rugi melampau kepada tiga aktivis PAS terbabit.
“Bagi saya kes ini sangat penting kerana merupakan satu pengajaran kepada pihak polis seluruhnya bahawa aktiviti yang diadakan di kawasan persendirian tidak memerlukan permit. Ia juga kemenangan kepada rakyat kerana kebebasan berhimpun secara aman adalah hak rakyat yang perlu dilindungi,” kata Fadzli kepada media di luar mahkamah.
Menurut fakta kes, pada jam 9.15 malam 10 Jun 2004 satu majlis ceramah penerangan telah diadakan di Markas Pas Kawasan Rompin, di nombor 42 Desa Teratai, Muadzam Shah. Ketua Polis Daerah yang mengetuai sekumpulan anggota polis dari Ibupejabat Polis Rompin telah mengeluarkan arahan supaya majlis tersebut dihentikan diatas alasan tiada permit perhimpunan dikeluarkan.
Ketua Polis Daerah juga telah mengarahkan anggota-anggota polis melakukan serbuan keatas premis ceramah tersebut dan telah menangkap plaintif kedua, ketiga dan keempat tanpa menunjukkan sebarang waran tangkapan.
Anggota-anggota polis yang melakukan serbuan dan tangkapan keatas premis tersebut telah merampas segala peralatan sistem bunyi (P.A. System) dan secara kasar yang telah mengakibatkan kecederaan pada plaintif keempat.
Berikutan itu, mereka bertiga telah ditahan, digari dan dibawa ke ibu pejabat Polis Daerah Rompin untuk disoal-siasat sehingga keesokan harinya.
Hanafi yang kini sudah bertugas di Pulau Pinang, merupakan satu-satunya defendan dalam kes berkenaan. Peguam Defendan ialah Pretam Singh. Sementara plaitif diwakili Hanipa Maidin dan Fadzli.
Kes tersebut difailkan oleh ketiga-tiga ahli PAS itu pada 1 Disember 2004 di Mahkamah Tinggi Malaya Kuantan melalui firma guaman Mohamad Hanipa & Associate.
Plaintif memohon deklarasi bahawa penangkapan dan penahanan mereka pada masa ceramah tersebut tidak sah, terbatal, tidak berpelembagaan dan tidak mempunyai apa-apa kesan.
Plaintif juga memohon deklarasi bahawa majlis ceramah yang diadakan di markas PAS Kawasan Rompin (pada 10 Jun 2004) tidak memerlukan permit polis di bawah Seksyen 27 Akta Polis 1967.
Selain itu, plaintif memohon deklarasi bahawa defendan telah bertindak melampaui batas kuasainya di bawah Akta Polis 1967 dan tindakan defendan tersebut adalah satu penyalahgunaan kuasa (abuse of power).
Plaintif turut memohon deklarasi bahawa defendan telah melakukan pencerobohan ke atas markas PAS Kawasan Rompin dan menuntut ganti rugi serta lain-lain relif difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Sementara itu Penasihat Undang-Undang Parti keadilan Rakyat (PKR), Ahmad Nizam Hamid yang turut berada di luar mahkamah berharap Kementerian Dalam Negeri membaca dan menghormati keputusan mahkamah tersebut justeru mengambil iktibar.
“Kita harap pihak polis selepas ini faham bahawa ceramah di kawasan sendiri tidak termasuk dalam Akta Polis dan tidak boleh diganggu. Kita anggap keputusan ini sebagai kemenangan kepada rakyat dan demokrasi kerana hak berhimpun dijamin dalam perlembagaan negara”.
“Keputusan pagi ini sebagai pendorong dan motivasi kepada pejuang rakyat kerana selepas ini tanpa rasa takut boleh mengadakan aktiviti di kawasan sendiri tanpa perlukan permit polis,” katanya.

*Di siarkan semula dari laman http://sidangonline.net/

No comments: