Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Wednesday, April 15, 2009

Najib dan The Emperor's New Clothes

18.4.2009,Sabtu,Dato Seri Anwar Ibrahim akan melawat Negeri Pahang bersempena perasmian bangunan baru Pejabat Perhubungan Negeri di Beserah Kuantan.

Pada tarikh yang sama Kerajaan Pahang dibawah pimpinan Dato Seri Adnan Yacob turut menganjurkan Majlis Khas menyambut Dato Seri Najib Razak,PM yang baru dilantik pulang ke Pahang,Majlis tersebut juga berlangsung di Kuantan.

Maka hari Sabtu akan datang ini akan melakar sejarahnya tersendiri dengan kehadiran dua orang tokoh besar politik Malaysia.Najib mewakili politik lama yang bersifat feudal dan decadent manakala Anwar Ibrahim mewakili politik baru yang segar dan bertapak diatas Ketuanan Rakyat.

Tulisan ini tidak bermaksud untuk memberikan analisis kehebatan kedua-dua tokoh ini walaupun,saya percaya,rakyat menyedari bahawa kreadibiliti dan kehebatan Anwar yang tahan diuji jauh lebih ampuh dari Najib yang dilihat bergelumang dengan pelbagai skandal dan political gabbage serta citra yang serba usang lagi hodoh.

Apa yang hendak disampaikan adalah upaya yang sedang dijalankan oleh UMNO untuk mengumpul seberapa ramai yang boleh untuk diusung bagi menyambut ketibaan Najib.Pimpinan UMNO Pahang menyedari bahawa jika tidak dikerah nescaya Majlis tersebut akan hanya dihadiri oleh beberapa kerat manusia sahaja dan tentunya akan memperlihatkan betapa tidak popularnya Najib ketimbang UMNO Pahang itu sendiri.

Diatas kebimbangan itulah,saya diberitahu bahawa kanak-kanak sekolah disekitar Kuantan,Pelajar Universiti Malaysia Pahang dan Kolej Shahputra akan dikerahkan untuk turut sama berbaris menyambut ketibaan Presiden UMNO itu di Lapangang Terbang Kuantan.Khabarnya kehadiran mahasiswa dan siswi tersebut juga akan diberikan markah kredit didalam cgpa mereka;samaada ianya benar atau sebaliknya,saya tidak dapat mengesahkannya.

Sementara itu disetiap daerah di Pahang dikerahkan seberapa ramai yang mungkin untuk turut hadir samaada terdiri daripada kalangan ahli UMNO/BN mahupun kakitangan agensi Kerajaan seperti KEMAS,JASA dan lain-lain lagi.Perkhidmatan bas percuma yang disewa khas juga disediakan untuk orang ramai dengan makan minum serta duit poket diberikan.

Saya melihat gejala ini dengan lelucon dan hati yang sebal.Semata-mata untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Najib adalah pemimpin hebat dan semata-mata untuk membodek Najib di pihak Adnan Yacob dan pimpinan UMNO Pahang (jangan lupa Adnan Yacob kalah didalam pemilihan UMNO baru-baru ini dan khabar burung yag bertiup kencang Menteri Besar Pahang akan diganti dengan muka baru),maka UMNO terpaksa menggunakan kanak-kanak,pelajar universiti,kakitangan kerajaan dan membayar upah kepada penyokongnya sendiri untuk hadir.

Berapakah agaknya ongkos yang akan digunakan untuk meraikan PM baru ini?Dan berapa banyak wang rakyat akan dileburkan semata-mata untuk membodek Presiden UMNO?

Jika mengikut pendedahan Sdr.Che Gu Bard,Kerajaan Negeri Sembilan membelanjakan RM45786.oo wang rakyat hanya untuk membeli iklan memuji dan memuja Rosmah Mansor,isteri PM.Maka,pada hemat saya,tentunya Kerajaan Pahang akan membelanjakan jumlah yang jauh lebih besar dari itu bagi menunjukkan kehebatan memandangkan Najib putera Pahang dan ahli parlimen Pekan selain budaya mengampu tidak boleh disisihkan dalam konteks ini.

Congakkannya mudah.Jika kehadiran hanyalah berapa kerat,maka bermakna pimpinan UMNO Pahang akan dilihat gagal dan tidak meraikan PM baru;jika majlis yang dirancang itu tidak 'grand',juga bermakna Adnan Yacob akan dipersalahkan kerana gagal menonjolkan gah majlis tersebut.Pilihan yang ada tatkala Najib tidak dilihat sebagai pemimpin yang popular dan tatkala populariti UMNO merudum ialah dengan mengerah pelajar dan membayar upah untuk hadir selain membelanjakan wang rakyat agar majlis itu kelak nampak grand dan gah.

Kelihatannya pimpinan UMNO Pahang tidak mempunya kepekaan atau kecaknaan terhadap krisis ekonomi yang melanda negara.Majlis seperti ini yang boleh dianggap pembaziran wang rakyat diberikan keutamaan sedang rakyat bergelumang dengan masalah hidup;di Temerloh sahaja,sudah ramai pekerja-pekerja kilang samaada diberhentikan ataupun diarahkan untuk bercuti serta bekerja selang hari,kesemua ini seharusnya mendapat tempat sebagai agenda utama Kerajaan khususnya didalam keadaan harga barang keperluan seharian yang kian mahal.

Alangkah bagusnya jika wang rakyat itu digunakan untuk membantu mereka yang hilang pekerjaan akibat ekonomi dunia yang merudum.Sehingga ke hari ini saya masih lagi belum terbaca suatu program atau agenda khas yang dibuat oleh Kerajaan Pahang untuk menangani masalah ini seperti inisiatif yang diambil oleh Kerajaan Selangor misalnya.

Saya juga teringat kepada cerita kanak-kanak,The Emperor's New Clothes,yang mengisahkan seorang Raja yang hidup didalam kemewahan di persendakan oleh tukang jahit kononnya baju yang dipakai oleh Raja tersebut sebagai yang tercantik,teranggun dan terhebat.Walhal Raja tersebut,dek termakan dengan kata-kata tukang jahit itu,tidak memakai apa-apa pakaian pun ketika berjalan dengan angkuhnya di hadapan rakyat.Para pembesar pula tidak punya keberanian dan asyik hendak membodek tidak berani untuk sembah mohon derhaka memberitahu Raja yang beliau pada hakikatnya tidak berpakaian;apabila Raja tanya apakah pakaiannya cantik dan cocok,maka para pembesar demi untuk membodek serentak menjawab pakaian Raja itu tiada taranya dan begitu anggun.

Saya kira begitulah juga metafora yang boleh dipakaiguna melihat kepada budaya UMNO.Pemimpin UMNO wajar dibiarkan hidup dalam illusi dan untuk membina illusi ini maka perlu dikerah kanak-kanak sekolah,pelajar Universiti dan upah serta membelanjakan wang rakyat dengan semberono.

Manakala didalam perbualan saya dengan teman-teman Tionghua dan India,mereka dengan jelas menyatakan tidak akan pergi menyambut Najib.Saya bertanya lagi,"Program Anwar pergi tak?",mereka menjawab program Dato Seri Anwar Ibrahim mereka akan hadir dengan kenderaan dan wang sendiri.Dan sentimen yang sama juga boleh dilihat kepada rakan-rakan orang Melayu,memberikan komitmen untuk hadir ke ceramah Dato Seri Anwar Ibrahim juga dengan kenderaan dan perbelanjaan sendiri.

Dan disiang tadi saya berbual dengan seorang pak cik yang kami panggil Ayah Teh di Pasar Malam Mentakab.Ayah Teh ini masih lagi ahli UMNO tetapi sudah hilang keyakinan kepada perjuangan UMNO.Saya bertanya apakah beliau akan ke Kuantan menyambut Najib.Ayah Teh menjawab didalam slanga Temerloh yang pekat:"Koi gi Sabtu ni ke Kuantan.Bukan nak menyambut Najib sangat keknya orang UMNO bagi duit,katanya RM150 seorang,naik bas free makan dema tanggung.Dapat duit tu lepas juga belanja dapur zaman getah meluruh ni.Malam tu koi tido rumah anak sedara kat Permatang Badak sebab nak gi ceramah Anwar!"*

*Terjermahan:Saya pergi ke Kuantan hari Sabtu ini.Bukan hendak menyambut Najib tetapi oleh kerana UMNO bagi duit RM150,bas percuma dan makan minum ditanggung,dapat juga duit untuk belanja dapur di zaman getah meluruh (maksudnya daun-daun getah gugur-luruh dimana ketika ini susu getah terlalu sedikit).Malam Sabtu saya tumpang tidur di rumah anak saudara di Permatang Badak sebab hendak menghadiri ceramah Anwar.

No comments: