Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Tuesday, January 27, 2009

Awal Bicara

`Kenapa kau tak tulis blog?'.`Hmmm...aku tak ada masa-lah selain idea kering.'`Ala,kau tulis je apa yang terlintas di fikiran.Zaman hari ini semua orang ada blog sendiri'.

Lebih kurang begitulah selalunya dialog dengan teman-teman yang menggesa menulis dan punya blog sendiri.Bukan sahaja teman-teman,malah isteri turut membuat gesaan yang sama (blog isteriku boleh di akses di justenar.blogspot.com).`Bukankah di kampus dulu you giat menulis?',begitu kurang lebih anjuran dari isteriku.Memang ada beberapa tulisanku yang pernah tersiar di beberapa penerbitan sewaktu di kampus UM dulu;malah sewaktu kini ada juga tulisanku yang di terbitkan.

Aku mengaku,sebenarnya aku pernah punya blog,Malah jauh sebelum blogging jadi `way of life' yakni tatkala blog mula-mula muncul di internet aku sudah punya blog;cuma blog tersebut tidak terawat,tidak di kemaskinikan!Terbiar laksana anak gelandangan.Soalnya,tuntutan kerja dan 1001 tuntutan lain (khususnya kegiatanku dalam politik melalui Parti Keadilan Rakyat) menjadi hambatan prima untuk aku menekuni menulis.Alasan memang.

Dan kemudiannya,aku turut jadi mangsa retina detachment,sejenis penyakit mata dimana retina,bahagian mata seumpama filem (bukan digital) koyak.Bukan sekali,malah sudah tiga kali kedua belah mataku di operasi dan sekarang alhamdulillah,kian sembuh.Pengalaman ini ada aku nukilkan dalam sebuah tulisanku yang di terbitkan oleh Malaysiakini sedikit masa dulu.

Pengalaman mengidap penyakit mata sebegini dengan pandangan yang kabur cukup menakutkan,bukan sahaja sulit untuk menulis sekaligus meng-up date-kan blog tetapi juga sebagai seorang pencinta buku,ia umpama mimpi ngeri!Tidak dapat aku bayangkan hidup walau suatu hari tanpa menjamah buku.Syukur kepadaNYA sekarang ini aku sudah pulih dan tentunya lebih menikmati hidup ini.

Lalu bagaimana dengan blog ini?Apakah nasibnya juga akan jadi anak gelandangan?Azamku untuk menjadikan blog sebagai wahana lontaran idea,kritikan,pandangan atau seperti kata temanku,tulis sahaja apa yang terlintas di fikiran.

Maka akan aku jadikan blog ini sebagai lahan untuk aku menulis-tentang hidup dan kehidupan,politik,sastera dan budaya,buku-buku,bahasa dan lontaran suara untuk membela rakyat.Memang,seperti kata Pramoedya Ananta Toer,almarhum,manusia menjadi besar kerana apa yang ditulisnya.Atas premis ini aku akan menulis dan menulis serta akan ku curi masa dalam kesibukkan memanjang untuk mengemaskinikan blog ini.Mudah-mudahan.

Maka,silakanlah menyelak lembaran-lembaran tulisanku selanjutnya dan dengan rendah dirinya ku persembahkan kepada khalayak.Moga-moga ada manfaatnya.

No comments: