Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Friday, July 10, 2009

Sajak Allahyarham Sahmad Malaya

SENYUM SANG PEMBAIK SEPATU

Dia sentiasa senyum
menyapa setiap yang lalu-lalang mampir
di hadapannya

Harapannya akan ada yang mampir
membetulkan sepatu

Setiap sepatu yang singgah
adalah nasi adalah air baginya,
isterinya dan anak-anak.

Dia tidak pernah peduli
tentang perjalanan yang sendat di kota
Bosnia,Tebing Barat yang merah
atau Puisi Sang Sasterawan Negara.

Yang penting adalah sepatu koyak
atau senget tumit,
kerana itu adalah hidup dan penghidupan
bererti baginya.

-Utusan Zaman
29 Mei,1994
(Puisi ini karya Allahyarham Sahmad Malaya di petik dari Antologi
BICARA KUMBANG (1995).Antologi ini diselenggarakan bersama oleh Allahyarham bersama Wan Kamaludin Wan Mustaffa dan Ibrahim Ismail dan diterbitkan oleh Majlis Belia Daerah Temerloh,DPMP dan Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Temerloh.)

Wednesday, July 8, 2009

Pemansuhan PPSMI:Reaksi Awal




Akhirnya,setelah 6 tahun berlalu,setelah bantahan bertalu-talu,Kerajaan hari ini membuat keputusan untuk membatalkan PPSMI.Pengumuman yang dibuat oleh Muhyidin Yasin,TPM itu menyebut pemansuhan PPSMI ini kiranya akan berkuatkuasa di tahun 2012.




Begitulah pengakhiran dasar dan polisi songsang yang dibuat tanpa memikirkan kesejahteraan rakyat terbanyak.Begitulah setelah,khabarnya,berbillion ringgit wang rakyat dibelanjakan (tentunya yang untung dan kenyang bak buaya tembaga ialah para kroni dan anakpinak pemimpin UMNO) maka dengan begitu-begitu sahaja PPSMI di hapuskan.Begitulah citra dan cara berfikir pemimpin.




Menarik disentuh ialah pengakuan Muhyidin yang beliau dan pegawainya terpaksa 'menyembah mohon perkenan' daripada Tun(ku) Dr.Mahathir Mohamad selama TIGA (3) JAM bagi membolehkan Kabinet memutuskan PPSMI di batalkan dan setelah mendapat 'perkenan' barulah boleh di umumkan kepada rakyat.




Persoalan disini ialah kenapa perlu mendapat perkenan dari Dr.Mahathir?Dr.Mahathir bukan lagi PM atau pemimpin kanan negara malah tidak memegang apa-apa jawatan pun baik dalam UMNO mahupun didalam kerajaan.Taraf Dr.Mahathir tidak lebih dan tidak kurang dengan saya atau pembaca atau rakyat yang lain.Mahathir hanyalah rakyat biasa!




Saya melihat ada yang begitu tidak beres didalam pentadbiran Najib dan Muhyidin.Nampak gayanya,yang boleh dilihat secara tersurat mahupun tersirat,PM,TPM dan seluruh Kabinet BN tidak punya keberanian mahupun kekuatan (termasuk kekuatan intelektual) untuk membuat keputusan sehinggakan perlu mendapat restu,limpah perkenan dan persetujuan dari mantan PM.Mungkin agaknya,seperti mitos masyarakat Melayu,Muhyidin takut ketulahan!




Saya melihat episod ini sebagai di luar tabii dan tentunya memalukan.Seorang TPM yang tentunya membawa mandat PM dan seluruh anggota kabinet perlu mendapat restu dan menyembah seorang rakyat biasa yang sudah tidak punya kuasa mahupun upaya membuat dasar semata-mata untuk membuat keputusan bagi memansuhkan polisi yang terang-terang terbukti sebagai gagal dan songsang.




Apa yang boleh diteladani dari episod ini?Hanya suatu sahaja yang boleh disimpulkan bahawa bukan Najib atau Muhyidin atau Kabinet yang memerintah negara tetapi seorang tua yang sudah dihujung senja yang punya wewenang lebih ampuh dari keseluruahan Kabinet!Memalukan!




Ada kemungkinan agaknya Muhydin Yassin memulakan pertemuan 3 jam dengan Tun(ku) Mahathir dengan menyebut 'sembah mohon derhaka,Kabinet sudah putuskan PPSMI di mansuhkan...'.Haru-biru!




Belangsukawa Pemergian Sahmad Malaya Dari Dato Seri Anwar Ibrahim


Sahmad Malaya Kembali Ke Rahmatullah

Saya menerima berita sedih pemergian sahabat lama sdr Syed Ahmad yang terkenal dgn nama penanya Sahmad Malaya. Anak Allahyarham mengirim teks pesanan ringkas dari hospital Temerloh pagi tadi. Dato’ Fauzi Abdul Rahman, Pengerusi Perhubungan Keadilan Pahang sempat meluangkan masa menziarahi jenazah bagi pihak pimpinan.
Saya mengenali Syed Ahmad semasa saya masih mahasiswa menjalankan kempen kesedaran di Chenor, Sungai Lembing dan Beserah. Beliau merupakan tokoh muda Pahang dan aktivis Parti Rakyat. Kami berhujah dan berbalah panjang isu ideologi, perjuangan Melayu dan politik.
Kami sering bertemu kemudiannya dalam majlis belia - saya di Abim dan Majlis Belia Malaysia dan beliau di MAYC. Dan sepanjang musim derita saya di Sungai Buloh, beliau bangkit sebagai sahabat setia.
Didoakan semoga ruh beliau dicucuri rahmat. Takziah dan salam saya ucapkan buat keluarga Allahyarham.
ANWAR

Tuesday, July 7, 2009

Hari Yang Memilukan

Hari ini adalah hari yang memilukan.Saya kehilangan.Dari pusara ke pusara saya melayat.Ya,kematian kepada saya sentiasa memilukan.
Saya kehilangan Bapa Saudara,Ayah De Mat Piah (Cikgu Mat Piah Huma Luas Chenor) yang kembali ke Rahmatullah jam 8.05 malam kelmarin.Ayah De sudah terlantar di kamar hospital Temerloh hampir seminggu.Hampir seminggu juga saya berulang-alik ke hospital.
Dan jam 11 pagi tadi ketika sedang sibuk menguruskan upacara pemakaman Ayah De saya tersentak apabila menerima sms dari sahabat saya,Syed Putra Syed Ahmad memaklumkan berita duka perginya ayahanda beliau,Tuan Syed Ahmad bin Syed Abdullah yang juga dikenali dengan nama pena SahmadMalaya atau di kalangan kami lebih mesra dengan panggilan Abah.
SahmadMalaya adalah sasterawan veteran yang tersohor.
Manakala sedang saya melayat jenazah Allahyarham SahmadMalaya,saya menerima pula panggilan dari adik memaklumkan Abah saya dikejarkan ke hospital kerana sakit dada.Maka tidak sempat saya menghadiri sehingga ke akhir upacara pengkebumian Allahyarham SahmadMalaya kerana terpaksa pula berkejar ke Hospital.Abah dimasukkan ke Wad Kenanga 11,Lantai 7,Hospital Temerloh.
InsyaAllah saya akan menulis panjang tentang Allahyarhan SahmadMalaya.
Semoga Allah SWT memcucuri rahmat kepada roh Ayah De Mat Piah dan SahmadMalaya serta ditempatkan dikalangan orang yang beriman.Alfatihah.

SAHMAD MALAYA DALAM KENANGAN

Belasungkawa Syed Ahmad
Bapa Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pahang, (Japen) yang juga editor unit buku Harakah, Syed Putra, Syed Ahmad Syed Abdullah kembali ke rahmatullah kira-kira jam 11.15 tengahari tadi (Selasa 7 Julai).

Tokoh budaya, tokoh belia dan penulis, Syed Ahmad, 85, meninggal dunia setelah dimasukkan ke Hospital Temerloh petang semalam, setelah mengadu uzur sebaik sahaja kembali daripada mesyuarat Gabungan Penulis Nasional (Gapena) pada Sabtu.

Bekas pendidik, Syed Ahmad yang terkenal dengan nama Sahmad Malaya dalam dunia penulisan merupakan Timbalan Pengerusi Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) dan bekas Pengerusi Lembaga Muzium Pekan.
Allahyarham gigih memperjuangkan bahasa dan budaya Melayu, juga aktif dalam Pergerakan Belia MAYC peringkat Kebangsaan dan pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Belia Pahang.

Allahyarham juga dianggap ‘guru’ dalam politik kepada generasi baru.
Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Cheruk Paluh, Kuantan. Kemudian berpindah ke Sekolah Melayu Pekan. Semasa pendudukan Jepun, beliau bersekolah Jepun di Kampung Marhum, Pekan selama tiga tahun. Selepas itu, beliau mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) dan tamat sahaja kursus beliau terus mengajar. Beliau lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1969 dan Sijil Tinggi Persekolahan (STP) pada tahun 1971 dengan cara belajar sendiri.
Semasa remajanya, Sahmad pernah menjadi budak pejabat kepada sebuah syarikat Jepun di Pekan dan dalam masa British Military Administration (BMA) beliau pernah menjadi buruh. Kemudian beliau menjadi guru pelatih pada 1 April 1946 di Sekolah Melayu Kampung Pasir Panjang. Pada tahun 1958 hingga 1959, beliau menjadi guru Bahasa Melayu di Sekolah Ahmad (Sekolah Tinggi Ahmad, Pekan).
Keterlibatan Sahmad Malaya dalam penulisan cerpen dan puisi bermula pada tahun 1950 lagi, iaitu semasa beliau menuntut di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak. Rakan rapatnya ketika itu ialah Suratman Markasan, Masuri S.N. dan Mas (Mohd. Ariff Ahmad Singapura). Setelah lulus dari maktab dan menjadi guru di Sekolah Melayu Pekan, beliau terus menulis. Cerpen-cerpen beliau termuat dalam majalah Hiboran, Utusan Zaman, Mastika, Juita dan Mutiara.
Antara cerpennya yang menggemparkan ialah “Gadis Melayu yang di Import”, “Terjun dari Tingkap” dan “Pengemis dari Daerah Sana”.Tema-tema penulisan Sahmad baik puisi mahupun cerpen menjurus kepada isu kemasyarakatan dan ketidakadilan serta hal-hal yang berkaitan dengan pembangunan. Sekiranya pembangunan itu akan menghakis apa yang dikatakannya hakisan budaya bangsanya, beliau akan bersuara melalui cerpen dan puisinya. Hal ini dapat dilihat menerusi puisi “Sungai Lembing”, “Bukit Tinggi”, “Tasik Cini”, dan yang paling terbaharu “Pesan Tok Nenek”. Pada peringkat awal penulisan, Sahmad ialah ahli ASAS ’50 yang bertapak kukuh di Singapura pada ketika itu.
Pada tahun 1957, Sahmad Malaya dan beberapa orang teman, antaranya Arman Sani dan Abdul Karim Abdullah mengambil daya usaha menubuh dan mengasaskan Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) yang dijadikan sebagai wadah bagi mengumpul, mendidik dan mengasuh penulis-penulis baru yang berbakat di samping mempertingkatkan mutu karya penulis yang sedia ada di negeri Pahang.
Beliau adalah seorang yang sangat aktif sejak usia muda lagi, malahan beliau merupakan aktivis kepada berbagai-bagai badan sukarela di Pahang seperti Majlis Kebudayaan Negeri, Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC). Orang sering bertanya mengapa beliau masih memakai nama “Malaya” di belakang nama Sahmad. Sebenarnya, beliau begitu tertarik dengan nama pena guru sejarahnya semasa di MPSI, iaitu Shaharom Husain yang memakai nama pena Mashur Malaya. Selain itu ramai pula rakan-rakannya yang ikut menggunakan perkataan “Malaya” seperti Harun Hassan (Belia Malaya) dan Abdul Hamid Hashim (penulis Kedah) dengan nama Rumaja Malaya. Beliau juga mahu agar generasi muda mengetahui bahawa Malaya itu ialah nama negara ini sebelum Malaysia.
Sahmad juga cuba berjinak-jinak dalam arena politik dengan mendampingi Ahmad Boestamam dan Pak Sako. Kegiatannya dalam politik ini menyebabkan beliau sering bertukar sekolah, iaitu hampir ke segenap daerah di Pahang, termasuk Hulu Tembeling dari tahun 1964 hingga 1965. Semasa di Tembeling, lahirlah sebuah cerpen beliau yang bertajuk “Cikgu Saiyed Tukar Lagi”.
Bagi menambah ilmu pengetahuan tentang kesusasteraan dan kebudayaan, Sahmad sering menyertai berbagai-bagai seminar, forum dan pertemuan-pertemuan yang dianjurkan oleh GAPENA, persatuan penulis, universiti dan kerajaan. Beliau juga sering mengembara ke luar negara seperti Jepun, China, Indonesia, Brunei, Jordan, Baghdad dan lain-lain.
Kini dalam menjalani hidup sebagai pesara dan usia semakin meningkat tua, Sahmad Malaya dilantik memegang beberapa jawatan seperti Ahli Lembaga Pengarah Muzium Negeri Pahang dan Ahli Majlis Perunding Belia Negeri. Pada tahun 1992 beliau dianugerahi bintang Ahli Mahkota Pahang (AMP) dan sebagai Tokoh Guru Temerloh 1991.
Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Tanjung Besar, Paya Pulai dan dikebumikan selepas Asar di tanah perkuburan berhampiran.
Harimau mati meninggalkan belang dan manusia mati meninggalkan nama seperti Syed Ahmad. Semoga roh allahyarham ditempatkan bersama para syuhada’ dan solihin.

Sunday, July 5, 2009

Akibat Peristiwa 13 Mei

Memang sudah lama aku mengenali dia.Dari aku kecil lagi.Aku rapat dengan adiknya.Kami sama-sama membesar didalam dunia kanak-kanak yang innocent sehinggalah sama-sama belajar merokok dan kini masing-masing sudah berkeluarga dan punya kerjaya.
Aku mengambil keputusan kembali ke Temerloh sesudah menamatkan pengajian di UM;manakala teman-malah cukup akrab sehingga ku rasakan bagai saudara kandung sendiri-seorang yang bohemian,suka merantau dan suka menghadapi (atau mungkin mencari) cabaran baru.
Abang Zar,begitulah aku memanggilnya.Adiknya teman karibku,untuk cerita ini,biar sahaja kita panggil temanku ini sebagai Rosli.Oh ya,aku bukan hendak tulis tentang Rosli;aku ingin berwejang tentang Abang Zar.
Petang tadi aku bersua dengan Abang Zar.Sementara menanti isteri memesan burger di Lurah Semantan,aku ternampak kelibat Abang Zar berjalan tenang dan pasti dengan songkok lusuh di kepala.Di celah jarinya tersepit rokok daun yang asapnya berkepul menipis di tiup angin Sungai Pahang.
"Abang Zar!",seruku dari tingkap kereta.Abang Zar memberhentikan langkahnya dan matanya melilau mencari dari mana datangnya suara yang memanggil namanya.Dan apabila kedua bola matanya terarah kepadaku,ada senyum yang mesra terukir dibibir hitam dek candu rokok.Abang Zar melangkah kearahku.
"Assalamualaikum",hampir serentak kami berdua memberikan salam dan tangan kami pun bertaut.
"How are you?",sapaku dalam bahasa 'PPSMI';sengaja aku gunakan Bahasa Inggeris untuk menguji Abang Zar.
Dan telahanku berhasil.Dalam bahasa Inggeris yang lancar,lelaki separuh abad yang berbaju dan berpeci lusuh serta seluar lusuh berkaki sinting,kami berbicara.
Ya.Dialah Abang Zar yang hampir seluruh hidupku aku kenali dia.Masih seperti dulu-bertanyakan Mak,bertanyakan apakah akan pergi berkempen ke Manik Urai-serta senyumnya yang masih seperti dulu-dulu juga,cuma yang berbeda giginya sudah banyak yang rontok.Dan tubuhnya semakin kurus-jangkung.
Abang Zar sebenarnya pernah menjadi kebanggaan kampung kami.Dia antara anak kampung yang cerdik sehingga dipilih ke Asrama Penuh disalah sebuah sekolah yang terkenal di Perak.Waktu itu diawal tahun 1970-an,selepas Peristiwa 13 Mei.
Tapi mungkin juga sebelum 13 Mei 1969 Abang Zar telah bersekolah di Perak.Aku tak pasti.Mungkin juga sewaktu diasrama Peristiwa 13 Mei berlaku.Tidak apalah kerana yang penting Peristiwa 13 Mei punya impaks besar terhadap hidup Abang Zar.
Aku masih ingat terjadi semacam keributan di kampung apabila Abang Zar balik.Waktu itu bukan cuti sekolah pun.Aku yang masih kecil ketika itu,mungkin berumur 6 atau 7 tahun terdengar perbualan Mak dan Abah betapa Abang Zar sebenarnya di berhentikan sekolah kerana mengalami tekanan jiwa.
Tentunya pada waktu itu aku masih terlalu mentah untuk memahami.Tapi apabila berjumpa Abang Zar,dia masih mesra dengan aku seperti dulu,seperti kelmarin.Cuma perbedaan yang kemudian hari aku sedari Abang Zar mula sering bercakap tentang falsafah,tentang al-Quran,tentang perkara-perkara mistiks,tentang ilmu kebatinan dan tentang betapa perlu memenuhkan ilmu didada dengan pesaka nenek moyang.
Abang Zar tidak tinggal diam.Dia bekerja menoreh getah dan berkebun.Kemudiannya Abang Zar diterima menjadi buruh PWD di tempat kami.
Lama sesudah itu barulah aku mengetahui apa sebenarnya berlaku kepada Abang Zar.Sesudah terjadinya Peristiwa 13 Mei,menjadi semacam obsessi kepada ramai Orang Melayu menuntut ilmu,samaada silat mahupun apa yang disebut ilmu kebatinan.Aku masih ingat Arwah Ayah De datang ke rumah dengan bersemangat menyuruh-malah aku kira semacam memaksa-abah untuk turut sama berguru mendalami ilmu batin.
Arwah Ayah De malah menunjukkan kekuatan beliau memecahkan buah keras dengan sekali hentakan tapak tangan,berderai buah keras itu.Kekuatan Ayah De kerana berkat belajar ilmu kebatinan,kononnya.
Kemudian datang pula orang mengajar ilmu nasrul haq.Cukup ramai yang turut serta belajar dan pernah aku secara sembunyi-sembunyi takut dimarahi Abah mengintai mereka yang berlatih.Cukup dengan mendepangkan jari-jemari kearah lawan dalam jarak yang agak jauh,nescaya pihak lawan akan terbanting jatuh seakan ada kuasa yang menolak.Kagum!
Waktu itu,mungkin boleh kita namakan Zaman Edan.
Dimana untuk ditempatkan Abang Zar didalam cerita ini?Abang Zar rupa-rupanya turut terobsessi untuk memenuhkan ilmu didada.Abang Zar berbaik dengan Wak tukang kebun sekolah yang khabarnya punya ilmu kebatinan yang cukup ampuh.Dengan Wak tukang kebun sekolah Abang Zar belajar ilmu batin dan ilmu hakikat untuk mencapai darjat makrifat.
Abang Zar tekun mendalami ilmu yang diturunkan.Segala syarat perguruan dipatuhinya dengan tertib dan penuh disiplin.Aku kurang pasti pula waktu itu Abang Zar di dalam tingkatan berapa.
Dapat difahami bagaimana seorang anak muda yang masih mentah dengan patuh dan taat belajar ilmu batin dan ilmu lainnya.Dapat difahami dengan pengalaman hidup yang sedikit tentunya Abang Zar tidak dapat membedakan antara ilmu yang berteraskan ajaran Islam ataupun ilmu yang menyeleweng.
Abang Zar menjadi taksub.Taksub kepada ilmu dan ajaran yang dipelajarinya.Taksub dengan gurunya,Wak tukang kebun sekolah.Pelajarannya makin ketinggalan kerana banyak masa dihabiskan untuk memantapkan ajian,wafaq dan ayat-ayat perguruannya.
Akhirnya,Abang Zar menjadi lain macam.Beliau taat mengerjakan sembahyang tetapi oleh kerana ajaran yang diperolehinya,Abang Zar solat dengan membelakangkan kiblat!Apabila ditegur,Abang Zar mengamuk dan keluarlah segala macam ilmu yang dituntutnya;khabarnya batang pokok kelapa sebesar paha orang dewasa dicabutnya dengan mudah;malah berkemampuan melompat sehingga landas pucuk pokok buluh.
Atas sebab inilah Abang Zar diberhentikan sekolah dan kembali ke kampung.
Pelbagai komentar diberikan oleh orang kampung-tersalah belajar ilmu,belajar ilmu sesat,ilmu yang dipelajarinya panas,terlalu muda untuk belajar ilmu sedemikian-dan gila iseng.
Suatu hari ketika aku bercuti semester,seperti biasa aku kerumah Rosli.Abang Zar juga ada duduk di pangkin sambil meraut buluh.Kami berbual seperti biasa.Abang Zar bertanyakan apakah aku sudah membaca puisi Rumi dan Raniri?Atau sudah mentelaah Mukaddimah hasil buah fikir Ibnu Khaldun.Kebetulan aku baru membeli Mukaddimah versi Bahasa Inggeris di PekanBuku UM tetapi masih belum sempat mentelaah buku itu.(Abang Zar pernah menghadiahkan aku antologi puisi Sihir Hujan)
Didalam perbualan tiba-tiba Abang Zar bercerita kenangan zaman sekolahnya.Rupa-rupanya yang memotivasikan beliau berguru mencari ilmu batin dan menuntut dari Wak tukang kebun kerana untuk membuat persediaan sekiranya Peristiwa 13 Mei 1969 berlaku semula.
"Kena ada pelindung diri dan pendinding takut-takut 13 Mei berulang semula,"begitulah lebihkurang kata-kata dari mulut Abang Zar.
Kerana ketakutan-samada ketakutan itu sesuatu yang real atau di rekayasa oleh pihak tertentu untuk mengolah sokongan dan fikiran Orang Melayu-maka mereka yang seperti Abang Zar mengambil ketetapan untuk berguru.Akibatnya,diatas kenaifan beliau dan 'dimangsakan oleh keadaan' pada ketika itu Abang Zar dari seorang anak muda yang punya masa depan yang cemerlang menjadi sebahagian dari mata rantai sejarah yang di paksakan keatas dirinya.
Akibat Peristiwa 13 Mei 1969,Abang Zar pernah dihantar ke Hospital Permai.Diagnosis Doktor menyebut Abang Zar mengalami sakit jiwa yang dikenali sebagai skirzopernia.
Dan seusai maghrib aku terfikir,jika Tragedi 13 Mei 1969 tidak berlaku apakah Abang Zar akan menjadi begitu?Atau kenapakah tragedi tersebut seolah-olah dimanfaatkan oleh pihak tertentu untuk senantiasa,sehingga ke hari ini,bahawa Orang Melayu didalam keadaan terancam (seige mentality) sehingga mereka yang naif seperti Abang Zar menjadi mangsa secara tidak langsung?Atau kenapa pula tidak dimanfaatkan teladan dari peristiwa tersebut untuk menjalankan upaya yang benar-benar jitu,ampuh dan tuntas untuk mengzahirkan perpaduan antara kaum?Atau tidakkah perlu di cari jalan yang benar-benar konkrit untuk mengolah kekuatan Orang Melayu dalam pendidikan dan ekonomi tanpa rasuah,tanpa kronisme dan tanpa memilih pegangan politik?
Malah momokan 13 Mei ini terus sahaja di kumandangkan demi kepentingan politik perkauman yang sempit;bukan kerana keikhlasan untuk membela untungnasib bangsa tetapi untuk mengaut laba dari perpecahan.Dan sekiranya ini terus didendangkan,akan ada Abang Zar yang lain turut menjadi korban berikutnya.
Dan petang tadi,setelah kembali bersalaman,Abang Zar perlahan-lahan melangkah pergi.Derap kakinya yang berselipar jepun tetap gagah.Abang Zar berjalan perlahan-lahan,kemana destinasinya mungkin dia sendiri pun tidak tahu.Abang Zar dengan dunianya yang misteri mengatur langkah,tidak dia menoleh ke belakang lagi memandang aku yang tiba-tiba sayu.

Saturday, July 4, 2009

Cerpen Pak Sako:Satu Malam Di Woodstock










SATU MALAM DI WOODSTOCK *

AKU tidak mahu lepaskan peluang sekali seumur hidup ini.

Aku MISTI pergi ke Pesta Woodstock. Aku mahu bebas. Aku tidak mahu tunduk kepada tatatertib hidup chara lama, kepada tatasusila yang kolot. Aku anak zaman sputnik, zaman soyuz, zaman manusia naik kebulan.
Ayahku melarang, tetapi larangannya tidaklah begitu keras seperti amaran ibuku.
“Tak takut dosa? Tak takut api nuraka?” Dia mengherdik.
Kesian ibuku. Dia belajar memasak chara moden. Dia belajar menjahit, menghias rumah untuk menarik minat ayahku kepadanya. Tiap2 bulan dia pergi kekedai solek rambut. Dan dia juga chergas dalam kegiatan2 amal kaum wanita.
Tapi ayahku hidup dalam dua dunia. Dirumah - bila2 dia pulang - dia adalah seorang ayah dan suami yang baik, yang penyayang dan berkuasa.
Diluar rumah - dipejabatnya yang berhawa dingin, dan dikelabnya, dia bertukar chorak, menjadi manusia lain, lelaki yang bebas bergaul, punya ramai kawan2 dan teman2. Dia punya dua peribadi. Mungkin dua jiwa. Kerana itu kadang2 aku fikir lidahnya juga berchabang dua.
Bukan aku mahu memburukkan ayahku. Tapi aku tahu halnya. Dalam bilik dipejabatnya ada tergantung gambar2 bogel.
“Seni,” katanya kepadaku, kepada kawan2 dan teman-temannya. “Ada nilai estatika dalam lukisan2 ini,” tambahnya.
Dalam kutubkanah mini dibilik kanturnya itu ada buku2 sex. Dan satu lachi mejanya yang berkunchi ada gambar2 luchah berbagai ragam, termasuk apa yang digelar ‘hot-dogs’.
Aku tahu. Sebagai budak muda nakal yang tidak dikawal aku sudah menchuri masuk kedalam kanturnya.
Dan aku pun tahu juga dimana tempat ayahku pergi minum, berseronok dengan kawan-kawannya, dengan teman-temannya. Aku anak jantannya. Aku tahulah. Bapak rintik, anaknya borek. Masakan ketam batu, yang hidup didarat dan dalam air, boleh mengajar anaknya berjalan betul.
Aku punya teman wanita, yang lebih tua lima tahun dari aku, mengajak aku pergi kepesta itu.
“Kita boleh bikin kemah disana, ditepi belukar” - katanya.
“Dan bila malam kita boIeh tidur dibawah satu selimut. Kita boleh bebas puas2, sampai pagi” - tambahnya.
Aku mengerti apa hajatnya. Kami sudah buat hubungan beberapa kali, tetapi sembunyi2. Takut kena tangkap basah.
Dia dari keluarga pertengahan atas. Rumahnya besar. Kereta ada dua buah. Segala alat kesenangan dan kemudahan hidup ada dirumahnya. Jauh lebih tinggi kelasnya, mutunya atau darjatnya dari rumahku. Ayahnya orang berpangkat. Ada gelaran. Dihormati. Tetapi hidup “Moon” - teman wanitaku itu, katanya, tidak bahagia. Dia tidak bebas, tidak mahu dibebaskan oleh kedua orang tuanya. Banyak pantang larang yang dikenakan keatasnya. Dia melawan, dia memberontak.
Aku ketemu dengan Moon dalam satu temasha muda-mudi. Semenjak itu aku dengan dia sudah jadi macham belangkas. Berkat pill P.B., belum jadi apa2 padanya. Tapi sejak kebelakangan ini aku sudah lama tidak bersua dengannya. Entah kenapa, entah mengapa. Mungkin dia sakit.
Kemudian datang suratnya. Ada talipon nombor baru. Aku hubungi dia. Kami berchakap panjang, membahrui persahabatan, mengingat kesah2 lama yang lemak manis. Dialah yang kuat menchadangkan supaya kami pergi ke Pesta Woodstock. “Bawa lah kemenyan ajaib” - pesannya. Aku mengerti apa benda itu. Ubat serbaguna untuk muda-mudi yang mahu pesta.
Hari baik yang ditunggu-tunggu itu pun tibalah. Dengan pakaian rugged ala hippi kami pergilah kesana.
Dalam radio transister - didalam ruangan untuk beterinya aku bubuh enam gulung ‘kemenyan ajaib’. Siapa boleh shak, siapa boleh tahu? Beteri radio kechil itu aku lekatkan diluar. Waktu masuk pintu kedalam taman pesta itu aku bunyikan radio itu, pada meter yang menyiarkan lagu2 ranchak.
Tidak ada siapa yang bertanya, tidak ada yang memereksa. Moon juga ada bawa bekal, iaitu selain dan roti dan makanan2 dalam tin.
Ada dibawah bukit aku” - katanya sebelum tiba ke-pintu masuk.
“Tentu selamat” - fikirku. Aku sudah naik kepunchak kedua bukit kembar itu. Banyak nikmat disana.
Ambboi, aduuh, my god. Temasha itu sungguh ranchak. Sembilan pancharagam bermain bergilir-gilir tidak berhenti-henti. Lagu2 barat semuanya. Kesukaan kami. Kegemaran Moon dan aku.
Tiga puluh jam berayun dalam irama ranchak, lanchar, tinggi, memunchak, melangit kenirwana. Dalam masa tiga puluh jam itu kami sampai kealam lain, kedunia asing - dunia aman damai, dunia penuh bebas, melempah seronok, murni, indah, penuh khayal.
Tetapi tiga puluh jam adalah satu tempoh yang sangat pendek. Kalau tiga puluh hari, malah tiga puluh tahun, alangkah bagusnya.
Petang hari minggu, sedang suasana memunchak dengan kebahagiaan, sedang perasaan khayal kami melayang kekayangan yang suchi murni, pesta itu pun diberhentikan, ditamatkan.
Dan keesokan harinya, penaka orang2 suratkabar yang tolol, yang ketinggalan zaman - yang decadent, yang moribund, anti-progress, anti-perdamaian sejagat, yang chelaka, yang barangkali tak pernah merasa nikmat hidup, pesta indah itu sekonyong-konyong telah bertukar menjadi skendel besar.
Kononnya ada orang2 luar membawa ganja. Kononnya telah ada pemuda-pemudi yang menghisap ganja, madat dan dadah. Apakah yang mereka itu tahu? Mereka bukan manusia bebas seperti kami.
Hatiku macham diiris-iris dengan sembilu. Aku marah betul kepada orang2 dengki yang telah membochorkan rahsia dalam pesta itu.
Malam itu, dirumahku, dalam kamar tidurku yang penuh dengan lukisan2 dan patung2 seni-pop, aku terasa seluruh badanku panas. Aku terasa sakit dichelah kangkangku. Ari-ariku bengkak. Dan bila mahu buang air kechil aku terasa hangat, pedih.
Mujurlah malam itu ayahku ada dirumah.
Sebagai “man to man” aku cheritakanlah apa yang sebenarnya telah berlaku dalam pesta itu.
Ayahku sangat understanding.
Mari aku bawa engkau kekelinik istimewa. Jangan takut. Jamin boleh baik dalam seminggu. Tetapi mahu pantang: jangan makan sambal, jangan makan asam. Dan ingat: jangan kasi tau apa2 pada emak engkau. Bilang engkau demam sudah; demam musim buah, musim kemarau. Berkurunglah engkau dalam bilik tidur engkau. Kebetulan emak engkau sudah pergi ke Pulau Pinang, ikut rombongan. Seminggu lagi baru dia balik.”
Kelinik istimewa itu agaknya jauh, dalam pekan diluar ibukota. Entah dimana. Lama kami dalam kereta. Sempat ayahku bercherita darihal seorang pemuda yang hendak masuk universiti.
Engkau sudah besar Jack. Sampai di London nanti engkau tentu mahu ‘menembak’. Jadi, bila kau menulis surat meminta wang, tulislah, diantara lain2 belanja, belanja menembak sekian2…”
Seterusnya ayah ku bercherita: “Belanja Jack menembak bertambah tiap2 bulan, dan akhirnya ayah Jack minta kurangkan belanja menembak itu seberapa yang boleh.”
“Pada bulan kemudian Jack mengirim senarai perbelanjaannya. Diantara lain2 ialah: menembak lima paun, membaiki senapang lima puluh paun…”
Ayahku tergelak seorang diri. Aku, meskipun cherita itu luchu, tidak tertawa. Aku sakit, betul2 sakit. Dalam kereta aku terkenching. Sedikit2, sakit semakin pedih.
“Sekarang,” kata ayahku, “senapang kau pun sudah rosak. Tapi tidak mengapa. Ada ubat moden yang sangat baik, yang serasi. Nanti bila sampai kekelinik itu engkau diam2. Biar ayah yang chakapkan apa sakit engkau. Kalau tidak diubat lekas senapang engkau nanti tidak mahu meletup lagi. Lain kali ingatlah. Jangan perchaya yang groovy2. Hanya banyak gravy…”
Betul, seminggu kemudian aku sudah baik. Tetapi kena berulang lagi kekelinik itu seminggu sekali.
Kini aku tidak shak lagi. Penyakit itu aku telah dapati daripada Moon. Dan dia dapat daripada mana, daripada siapa? Mungkin daripada pelanchung luarnegeri. Aku kesian padanya, tetapi dalam kesian, rasa meluat pun ada juga. Tidak ku sangka sekali-kali anak orang baik2 begitu membawa kuman sakit moden, sakit zaman kemajuan.
Dua minggu kemudian surat Moon sampai lagi. Daripada alamat yang lain, nombor talipon yang lain pula.
Suratnya pendek saja, dalam bahasa Inggeris:
Dearest Darling. In December, about four months from now, we are organising another Music Festival, to be called Junglestock. Would you come again, sweetheart? Always longing for you…”
Go-to-hell with you!” - aku menyumpah dalam hati.
Aku sudah taubat. Woodstock bagiku sudah jadi Woodstink. Never again, forever. Lailahaillahllah. Muhammadurrasulullah. Amin.
*Cerpen Pak Sako ini saya ambil dari web-blog http://ricecooker.kerbau.com .