Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Wednesday, September 21, 2011

SURAT TERBUKA DATO MAT ZAIN IBRAHIM: MUSA HASSAN TERPALIT KONSPIRASI JENAYAH

Kepada;
YDH Tan Sri Ismail bin Haji Omar,IG,
Ketua Polis Negara,
Polis Di-Raja Malaysia.
iho@rmp.gov.my

Assalamualaikum wbt.



KERAJAAN SAHKAN GANI PATAIL PALSU KETERANGAN



1. Surat ini merupakan lanjutan dan sebahagian daripada surat terbuka saya bertarikh 12.09.2011 bertajuk, “Kenyataan Tertuduh-Benarkah Anwar Dianiaya.”



2. Musa Hassan telah mengeluarkan kenyataan balas menerusi akhbar Berita Harian pada 14.09.2011. Beliau telah menafikan semua dakwaan terhadap diri beliau dan Gani Patail. Beliau bukan setakat menyatakan dakwaan tersebut semuanya dusta, malah turut mengalihkan isu ini sebagai satu konspirasi jahat yang dipelopori olih Anwar.



2.1. Saya menyatakan bahawa sepertimana juga orang lain, Musa Hassan adalah berhak keatas pendapat sendiri dan juga kepada perbicaraan yang adil.



3. Walaupun begitu, beliau tidak sepatutnya tanpa usul periksa memperkecil kredibiliti blog-blog. Beliau sepatutnya sedar bahawa fakta-fakta yang tersiar berkaitan isu ini, adalah petikan keterangan saksi-saksi dalam laporan RCI Mata-lebam, nota prosiding Mahkamah, keterangan dalam kertas siasatan kes berkenaan dan termasuk keterangan beliau berikan sendiri serta Pernyataan Tuntutan yang beliau telah failkan dalam Mahkamah. Saya mengambil tanggung jawab sepenuhnya keatas kebenaran pendedahan yang saya buat.
Mengapa isu ditimbulkan sekarang.



4. Soalan mengapa isu ini ditimbulkan sekarang sedangkan kes ini berlaku 12 tahun yang lalu,sepatutnya Musa Hassan tujukan kepada Tun Mahathir. Mengapa selepas 13 tahun baru Tun merakamkan memoirs beliau dalam A Doctor In The House.



4.1. Antara lainnya Tun Mahathir mendedahkan pula Musa Hassan yang memberikan taklimat yang meyakinkan beliau mengenai penglibatan Anwar dalam aktiviti homoseksual. Padahal beberapa tahun sebelum itu, Y.A.Bhg.Tun Mohammed Hanif Omar pernah mentaklimatkan beliau mengenai perkara serupa, tetapi beliau tidak mengambil berat maklumat tersebut.



4.2. Tentu ada sesuatu maklumat yang sangat istimewa yang Musa Hassan bentangkan hingga meyakinkan Tun.Diharap beliau tidak menuduh pula pendedahan dalam memoirs Tun ini juga adalah sebahagian daripada konspirasi yang dirancang olih Anwar.
Isu dalam persoalan.



5. Saya wajar menekankan kepada beliau bahawa isu yang dibincangkan sekarang tidak ada kena mengena dengan isu politik. Malahan tidak ada langsung orang politik yang terlibat dalam dakwaan ini. Pendedahan yang dibuat adalah semata-mata berkaitan penjenayahan, keadilan awam (public justice) dan system keadilan jenayah itu sendiri.



5.1. Dakwaan terhadap Gani Patail dan beliau adalah kerana memberi atau mereka keterangan palsu terhadap Anwar. Serta persoalan sama ada Hakim Mahkamah telah mensabitkan kesalahan berdasarkan keterangan palsu yang diberi atau direka olih mana-mana saksi ketika perbicaraan,atau sebaliknya.

5.2. Kita tidak bolih membiarkan sebarang penganiayaan dilakukan terhadap mana-mana orang atau diatas apa sebab sekalipun.Bukan sahaja ia salah disisi undang-undang Negara, malah suatu dosa besar mengikut hukum Agama.
Contoh kes lampau.

6. Kejadian dimana Mahkamah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang tertuduh berdasarkan satu sahaja keterangan palsu yang diberikan olih seorang saksi, pernah berlaku dalam sejarah kehakiman Negara ini.

6.1. Dalam kes bunuh Jean Perera Sinnappa dalam bulan April 1979, tertuduh S.Kartigesu, ketika itu seorang Pensyarah disebuah Maktab Perguruan di-Ceras KL, telah didapati bersalah membunuh bekas ratu cantik tersebut dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

6.2. Setelah lebih dua tahun S.Kartigesu merengkok dalam penjara menunggu masa untuk digantung,beliau telah dibebaskan olih Mahkamah Rayuan apabila seorang saksi, Jayatilake didapati memberi keterangan palsu dalam perbicaraan kes bunuh itu.

6.3. Sebaliknya Jayatilake pula dipenjarakan 10 tahun kerana memberi keterangan palsu, tetapi beliau telah meninggal dunia dalam penjara 2 tahun kemudian, ketika sedang menjalani hukuman.

6.4. Saya sarankan Musa Hassan membaca journal kes bunuh tersebut. Atau lebih pantas jika beliau mendapatkan butir sepenuhnya daripada Pegawai Penyiasat kes ini yang beliau kenal sangat.

7. Jika peristiwa seperti diatas bolih berlaku sebelum ini,maka kita harus menerima hakikat perkara serupa bolih berulang. Malah mungkin telah berlaku tetapi telah disembunyikan atau tidak dikesan olih sesiapa.
Keterangan palsu terkesan.

8. Dakwaan Musa Hassan telah memberi keterangan palsu dalam perbicaraan kes korupsi terhadap Anwar pada tahun 1998 hanya terkesan pada pertengahan tahun 2009. Ini berlaku apabila keterangan beliau berikan dalam perbicaraan kes Pendakwa Raya vs Ramli Yusuff di-Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu dikatakan bertentangan dengan keterangan yang beliau berikan dalam kes korupsi Anwar tahun 1998.

8.1. Undang-Undang telah menetapkan bahawa perbezaan diantara “Ya” dengan “Tidak” atau antara “Tahu”dengan “Tidak Tahu” atau antara “Ada” dengan “Tidak Ada” adalah cukup untuk mensabitkan sesaorang itu dengan kesalahan memberi keterangan palsu. Kredibiliti Musa Hassan lebih dicurigai apabila Hakim Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu mendapati beliau sebagai seorang saksi yang diragui dan kesaksiannya ditolak.

8.2. Terbit daripada perbezaan dalam keterangan Musa Hassan yang dikesan itu, seorang Wakil Rakyat,Sivarasa Rasiah telah membuat laporan polis dalam bulan Mac 2010 terhadap beliau kerana kesalahan memberi keterangan palsu (perjury) dalam tahun 1998.

8.3. Memoir Tun Mahathir yang dikeluarkan mulai Mac 2011 pula secara kebetulan, menimbulkan beberapa persoalan berkaitan peranan dan kejujuran Musa Hassan dalam siasatan kes terhadap Anwar apabila rekod-rekod lama dinilai semula.

9. Jika seorang Hakim Mahkamah Sesyen bolih merakamkan dalam nota prosiding bahawa keterangan Musa Hassan tidak bolih dipercayai,sedangkan beliau ketika itu masih Ketua Polis Negara, maka tidak salah untuk mempersoalkan sama ada beliau telah berbohong atau tidak, ketika memberi taklimat kepada Tun Mahathir berkaitan Anwar.
Siasatan SPRM.

10. Umum telah maklum bahawa dakwaan Anwar pada 1.7.2008 terhadap Gani Patail,Musa Hassan,Dr.Abdul Rahman Yusof dan termasuk saya sendiri (atas sifat Pegawai Penyiasat kes mata-lebam)kerana memalsukan keterangan telah disiasat olih pihak SPRM.Kemudiannya Peguam Cara Negara telah melantik 3 orang Ahli Panel Bebas terdiri daripada mantan-mantan Hakim Mahkamah Persekutuan dan Rayuan,sebagai DPP bagi meneliti kertas siasatan SPRM tersebut.

10.1. Pada 11.3.2009,iaitu lapan bulan kemudian, Menteri di-Jabatan Perdana Menteri telah mengumumkan di-Parlimen bahawa hanya dua orang sahaja iaitu, Gani Patail dan Musa Hassan dibersihkan daripada sebarang salahlaku. Walaupun demikian, seorang daripada Ahli Panel Bebas tersebut telah memutuskan terdapat keterangan salahlaku jenayah terhadap Gani Patail.

10.2. Tun Mahathir mempertahankan hujah beliau,bahawa walaupun Mahkamah Persekutuan telah membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat atas sebab teknikal,Tun tetap mengatakan bahawa Anwar terlibat dalam aktiviti homoseksual kerana terdapat diantara Panel Hakim Mahkamah Persekutuan tersebut yang mengesahkan terdapat keterangan aktiviti homoseksual antara Anwar dan Sukma benar berlaku.Kerajaan akur dan menghurmati pendirian Tun sedemikian itu.

10.3. Dalam premis yang sama,walaupun Gani Patail dan Musa Hassan telah dibersihkan daripada sebarang salahlaku jenayah, namun fakta ada diantara Ahli Panel Bebas yang menyatakan, terdapat keterangan salahlaku jenayah olih Gani Patail dalam dakwaan ini, adalah tidak tergugat. Ringkasnya, keterangan Gani Patail telah memalsukan keterangan seperti yang didakwa adalah intact.

10.4. Tambahan kepada itu pula,produk pemalsuan itu sendiri dalam bentuk 3 laporan pakar yang dipalsukan berjumlah 65 muka surat itu sememangnya ujud.Malah bolih diperiksa olih rakyat jelata jika masih ragu dengan dakwaan ini.Saya ulangi kenyataan saya bahawa keterangan ini adalah lebih konklusif dari keterangan DNA.
Pengesahan Panel Bebas dan Keputusan..

11. Saya kemudiannya mencabar kesahihan perlantikan Ahli Panel Bebas olih Peguam Cara Negara dibawah peruntukkan CPC.Saya menegaskan perlantikkan itu sebagai tidak sah dari sudut undang-undang dan bahawa keputusan yang dibuat olih Panel Bebas tesebut adalah sia-sia,lantas menuntut keputusan tersebut diistiharkan null and void.

11.1. Bagaimanapun Kerajaan sendiri yang secara bersungguh-sungguh menentang cabaran itu, sehingga keperingkat Menteri di-Jabatan Perdana Menteri membuat “Ministerial Statement” yang panjang lebar di-Parlimen dalam bulan Disember 2010 bagi menerangkan pendirian Kerajaan terhadap perlantikkan Panel Bebas tersebut ketika menjawab soalan berkaitan isu ini.

11.2. Kerajaan telah mengesahkan bahawa perlantikan 3 Ahli Panel Bebas yang dilantik olih Peguam Cara Negara itu adalah sah disisi undang-undang dan demikian itu keputusan yang dibuat olih Panel tersebut juga adalah sah dan diperakukan.

12. Saya mengambil pengesahan tersebut, sebagai Kerajaan turut memperakukan dan mengesahkan keputusan salah seorang Ahli Panel tersebut yang telah mendapati Gani Patail terlibat dalam salah laku jenayah.Dengan demikian itu dakwaan bahawa telah berlaku pemalsuan keterangan dalam siasatan kes melibatkan Anwar adalah betul.

13. Soal sama ada tindakan undang-undang telah diambil atau akan diambil kemudian atau tidak akan diambil langsung, terhadap Gani Patail adalah perkara kedua.Motif beliau melakukan pemalsuan itu juga tidak penting.

13.1. Perkara utama dalam persoalan ini, ialah sama ada beliau telah memalsukan keterangan dalam siasatan melibatkan Anwar atau tidak.Jelas dalam hal ini,Kerajaan sendiri yang telah mengesahkan pemalsuan keterangan itu benar berlaku.

13.2. Dalam kata ringkas,secara sengaja atau teknikal, Kerajaan sendiri yang mengesahkan Gani Patail sebagai seorang penjenayah.

“Covering up”.

14. Seterusnya,meminjam kata-kata budiman Tun Mahathir, “Even I would be compromised,for if it was discovered that I knew and yet failed to take necessary action then I would be accused of covering up”. (m.s.686 Memoirs).Kata-kata ini adalah selaras dengan peruntukkan dalam Kanun Keseksaan.Melindungi suatu kesalahan jenayah secara sendirinya, adalah satu salahlaku jenayah yang bolih dikenakan hukuman mengikut peruntukkan dalam Kanun Keseksaan.

15. Kini telahpun jelas,bahawa Jemaah Menteri,Jabatan Peguam Negara,SPRM dan Polis sedar bahawa Gani Patail telah disahkan melakukan salahlaku jenayah yang sangat serious.

15.1. Persoalan sekarang ialah bagaimana pula dengan tanggung-jawab masing-masing dalam mempastikan penguatkuasaan slogan “Rule of Law” secara “Without fear or favour” dan “no one above the law”yang saban hari masing-masing laungkan untuk didengar rakyat.

15.2. Siapa pula yang akan dipegang untuk mengambil tanggung-jawab “covering up” salahlaku jenayah ini yang telah disorokkan sekian lama.
Pengetahuan Perdana Menteri.

16. Saya menegaskan PM Najib sendiri dipercayai sedar perkara ini sejak Oktober 2008 lagi.Saya yang mentaklimatkan beliau di-Kementrian Kewangan ketika beliau masih Timbalan Perdana Menteri.

16.1. Taklimat ini saya susuli dengan laporan bertulis bertarikh 19.2.2009 yang disertakan dengan bukti-bukti lengkap menjelaskan dakwaan ini.Saya menjangka beliau akan mengambil tindakan sewajarnya, apabila beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

16.2. Alasan kekurangan bukti sepatutnya tidak timbul lagi.Alasan ‘standard’,akan siasat lanjut juga, tidak relevan kerana Panel Bebas telah membuat keputusan dan Kerajaan telah mengesahkannya.

17. Saya menyatakan diperingkat ini, Penubuhan satu Tribunal atau Suruhanjaya Di-Raja Penyiasatan bukan lagi satu opsyen.Ini memandangkan kes prima facie terhadap Gani Patail dan mereka-mereka yang bersubahat dengannya,kerana kesalahan memalsukan beberapa keterangan dalam sesuatu penyiasatan telah dibentuk.
Perkara am dan penutup.

18. Tun Mahathir menyatakan beliau tidak akan merelakan sesaorang yang tidak bermoral menjadi pengganti beliau sebagai Perdana Menteri.Saya percaya rakyat Negara ini pula tidak akan merelakan seorang Peguam Negara yang telah disahkan sebagai seorang penjenayah olih Kerajaan, terus menjadi pelindung hak kebebasan Rakyat dan Keadilan Awam.

19. Hanya beberapa hari yang lepas, Perdana Menteri telah mengumumkan pemansuhan ISA dan EO dengan menjanjikan akan menggubal undang-undang yang lebih sesuai demi memelihara kepentingan dan kebebasan rakyat, sambil menjamin keselamatan Negara. Pengumuman ini mendapat reaksi bercampur.

20. Bagaimanapun, sekiranya PM Najib terus menggunakan Gani Patail untuk mengepalai penggubalan undang-undang baru dan seterusnya,sedangkan Kerajaan beliau sendiri telah mengesahkan Gani Patail terlibat dalam salahlaku jenayah,maka samalah seolah PM Najib menghumbankan hak kebebasan dan nasib rakyat kedalam genggaman seorang penjenayah.

20.1. Jika ini berlaku, maka ianya bukan sahaja merupakan sebagai satu penderaan dan penganiayaan terhadap rakyat, malah terhadap Rule of Law itu sendiri.
Salam sejahtera.

Yang benar,

Mat Zain Ibrahim
19 September 2011

Monday, September 12, 2011

SURAT TERBUKA PENDEDAHAN KONSPIRASI TERHADAP DSAI OLEH BEKAS PEGAWAI KANAN POLIS

Kepada,

YDH Tan Sri Ismail bin Haji Omar, IG,

Ketua Polis Negara,

Polis Di-Raja Malaysia,


12hb.September 2011,


Assalamualaikum wbt.


KENYATAAN TERTUDUH-BENARKAH ANWAR DIANIAYAI.


Beberapa pihak telah memberikan pendapat berkaitan tindakan Dato Seri Anwar Ibrahim (Anwar) membuat kenyataan pembelaan diri dalam perbicaraan kes Sodomy II dari kandang tertuduh pada 22.08.2011 yang lalu. Setiap seorang termasuk saya,adalah berhak keatas pendapat masing-masing.


2. Membuat kenyataan dari kandang tertuduh( Kenyataan Tertuduh) adalah salah satu dari tiga opsyen yang dibenarkan olih undang-undang kepada seorang Tertuduh. Olih yang demikian, tidak timbul sama ada Anwar telah melakukan suatu kesalahan dari sudut undang-undang atau sebaliknya. Beliau pasti telah diberi nasihat berkaitan konsekuen atau faedahnya memilih opsyen tersebut.


3. Pada pendapat saya, perkara yang sepatutnya dititikberatkan ialah samada ada keseluruhan kandungan Kenyataan Tertuduh itu adalah benar atau terdapat diantaranya, penegasan yang direka atau palsu. Kedapatan Anwar turut membuat dakwaan salahlaku jenayah yang spesifik, terhadap beberapa individu yang dinamakan dengan jelas. Apa pun opsyen yang dipilih, beliau telah mengemukakan kenyataan tersebut dihadapan seorang Hakim dalam suatu prosiding terbuka. Anwar tetap tertakluk kepada pendakwaan jenayah, sekiranya beliau dibuktikan telah membuat kenyataan yang direka atau palsu.


4. Dalam mengulas isu ini,saya memilih untuk menumpukan perhatian kepada beberapa perenggan Kenyataan Tertuduh seperti berikut:-

4.1. Dakwaan spesifik terhadap Tan Sri Abdul Gani Patail(Gani Patail),Tan Sri Musa Hassan (Musa Hassan) dan Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden (Yusof) dalam peristiwa tahun 1998. Khususnya berkaitan mereka atau memberi keterangan palsu serta dakwaan “cover-up” dalam penyiasatan melibatkan Anwar. Termasuk tetapi tidak terhad kepada insiden mata-lebam.

4.2. Dakwaan berkaitan keterangan Forensik dan DNA.

4.3. Dakwaan keterlibatan dan salahguna kuasa mantan Perdana Menteri dalam penyiasatan melibatkan Anwar.


5. Saya mendapati hampir keseluruhan Kenyataan Tertuduh itu adalah merupakan “kenyataan ulangan untuk menyegarkan ingatan”.Dakwaan-dakwaan yang Anwar lontarkan terhadap mantan Perdana Menteri Y.A.Bhg. Tun Mahathir Mohamed, Gani Patail, Musa Hassan dan beberapa yang lain, termasuk terhadap Jabatan Peguam Negara dan Polis, bukanlah perkara baru.Beliau pernah membuat kenyataan secara rasmi pada 3.3.1999 ketika prosiding Suruhanjaya Di-Raja siasatan insiden mata-lebam diadakan.Bagaimanapun dakwaan-dakwaan berkenaan tidak dicabar olih mana-mana pihak, walaupun daripada Gani Patail atau Musa Hassan sendiri.


5.1. Selanjutnya,dakwaan salahlaku jenayah secara lebih spesifik terhadap Gani Patail,Musa Hassan dan Yusof telah beliau kemukakan kepada Mahkamah dalam beberapa afidavit yang telah difailkan sejak 2008 ketika perbicaraan masih diperingkat Mahkamah Sesyen lagi.


5.2. Selain afidavit, Anwar juga telah membuat beberapa laporan Polis terhadap Gani Patail,Musa Hassan serta beberapa Timbalan Pendakwa Raya.Laporan-laporan berkenaan kesemuanya berkisar kepada dakwaan mereka keterangan atau membuat afidavit palsu.


6. Olih hal yang demikian, isu beliau membuat Kenyataan Tertuduh sedemikian, sebagai helah untuk mengelakkan diri daripada disoal balas olih Pasukan Pendakwaan, pada pendapat saya tidak tepat untuk dipersoalkan.


6.1. Malahan,Pasukan Pendakwaan atau sesiapa juga yang telah didakwa dalam afidavit atau laporan Polis berkenaan, bolih membuat aduan terhadap Anwar jika terbukti beliau telah mengikrarkan afidavit atau membuat laporan Polis palsu.Bagaimanapun sejak 1998 lagi, Gani Patail dan Musa Hassan tidak mengambil tindakan sedemikian.


7. Peraturan Mahkamah Tinggi berkaitan penegasan dalam sesuatu afidavit adalah jelas. Banyak case laws yang bolih dijadikan teladan. Antaranya dalam kes Sunrise Sdn.Bhd. vs First People (M) Sdn.Bhd & Anor [1996] 3 MLJ 533.Hakikatnya telah diterima olih Mahkamah bahawa, mana-mana penegasan mustahak dalam afidavit yang tidak dijawab atau dicabar hendaklah dianggap sebagai telah diakui kenyataan yang benar.


7.1. Contoh semasa yang terbaik ialah; dalam kes bunuh Altantuya Shaariibuu, bilamana Hakim telah membebaskan seorang tertuduh Abdul Razak Baginda tanpa dipanggil membela diri, semata-mata bersandarkan afidavit Razak yang tidak dicabar olih Pendakwa Raya.


GANI PATAIL DAN MUSA HASSAN


8. Berbalik kepada dakwaan-dakwaan spesifik terhadap beberapa individu dalam Kenyataan Tertuduh tersebut, kesimpulan saya adalah seperti berikut;

8.1. Dakwaan bahawa Gani Patail pada 26.10.1998 telah mengarahkan seorang Dr. Abdul Rahman Yusof (Dr. Rahman) untuk menyediakan satu laporan Forensik palsu berkaitan kecederaan yang Anwar alami dalam insiden mata lebam itu adalah betul.Pemalsuan ini telah disusuli dengan 2 lagi pemalsuan olih Dr. Rahman yang dikatakan telah diarahkan sendiri olih Allahyarham Tan Sri Mohtar Abdullah, Peguam Negara ketika itu, dalam bulan Disember 1998.


8.2. Dakwaan bahawa Musa Hassan telah bersubahat dengan memberi kemudahan kepada Gani Patail dan Dr.Rahman menyempurnakan pemalsuan-pemalsuan tersebut diatas juga adalah betul.8.3. Fakta bahawa 2 (dua) daripada 3 (tiga) laporan forensic palsu tersebut telah dikemukakan dalam prosiding Suruhanjaya Di-Raja insiden mata-lebam yang bersidang diantara 22.2.1999 hingga 4.3.1999, juga adalah betul.


9. Apapun keadaannya, keujudan 3 laporan forensik olih Dr.Rahman itu sendiri, merupakan keterangan yang kukuh bagi membuktikan berlakunya perbuatan mereka keterangan palsu terhadap Anwar.Saya menekankan bahawa keterangan ini adalah lebih konklusif daripada keterangan DNA.


YUSOF


10. Dakwaan bahawa Yusof mengetahui keujudan ketiga-tiga laporan palsu tersebut dan penggunaanya dalam prosiding Suruhanjaya diatas, dalam sifat beliau sebagai wakil Peguam Negara sepanjang prosiding berkenaan, adalah berasas dan dipercayai betul.


10.1. Yusof sewajarnya mengistiharkan kepada Mahkamah, sama ada posisi beliau sebagai Ketua Pasukan Pendakwaan kes Sodomi II berada dalam konflik dengan posisi beliau sebagai wakil Peguam Negara dalam prosiding Suruhanjaya mata-lebam. Situasi ini timbul, memandangkan isu Gani Patail dan Musa Hassan memalsukan keterangan dan menggunakannya dalam prosiding Suruhanjaya itu telah dibangkitkan sejak 1.7.2008.Ini disusuli pula dengan dakwaan menerusi afidavit-afidavit dalam pembicaraan Sodomi II. Yusof sendiri turut ditohmahkan sebagai telah menyembunyikan keterangan salahlaku jenayah Gani Patail dan Musa Hassan.


10.2. Hakikatnya tidak dapat dinafikan bahawa Yusof adalah seorang saksi yang mustahak kepada dakwaan salahlaku jenayah terhadap Gani Patail dan Musa Hassan yang telah dilaporkan olih Anwar pada 1.7.2008 itu, manakala pada masa yang sama juga, Yusof adalah Ketua Pasukan Pendakwaan dalam perbicaraan Sodomy II terhadap Anwar.


10.3. Yusof hanya perlu untuk mengesahkan sama ada benar atau tidak ujud 3 laporan forensic yang disediakan olih Dr. Rahman diatas arahan Gani Patail dan Peguam Negara dalam penyiasatan insiden mata-lebam itu. Yang lainnya adalah untuk Mahkamah memutuskan.


KETERANGAN FORENSIK DAN DNA


11. Dakwaan menerusi afidavit menyatakan Musa Hassan dan SAC Datuk Mohamad Rodwan Yusof (Rodwan) cuba mengambil tanpa kebenaran (“mencuri”) sample darah Anwar, daripada simpanan / kawalan seorang Dr.Zahari Noor pada 15.10.1998 untuk kegunaan ujian DNA adalah dipercayai betul. Dr.Zahari sendiri telah memberikan keterangan kearah demikian pada 30.12.1998 ketika perbicaraan Anwar dalam kes salahguna kuasa dihadapan Hakim Dato Augustine Paul (mendiang).


11.1. Setidak-tidaknya, Musa Hassan masih terhutang kepada rakyat jelata, untuk menjelaskan apakah keterangan yang beliau ada ketika memberi taklimat kepada Tun Mahathir ,sehinggakan mantan Perdana Menteri itu begitu yakin untuk mempercayai Anwar terlibat dengan aktibiti seks luar nikah dan homosexsual. Manakala beberapa bulan selepas itu pula, Musa Hassan terdesak untuk mengumpulkan keterangan lanjut berkaitan DNA, sehingga terpaksa mencuri sample darah tersebut.Walhal pada ketika itu, Anwar telahpun dituduh di-Mahkamah dan sedang menunggu tarikh perbicaraan. Sepatutnya proses pengumpulan keterangan asas telah selesai.


11.2. Musa Hassan juga patut jelaskan samada tindakan “mencuri” sample darah sebelum perbicaraan kes dimulakan itu, adalah dalam pengetahuan dan direstui olih Tun Mahathir atau sebaliknya. Ataupun tindakan itu adalah diatas inisiatif beliau sendiri semata-mata untuk menjustifikasikan taklimat meyakinkan yang beliau beri kepada Tun Mahathir beberapa bulan sebelum itu.


11.2.1.Fakta bahawa Musa Hassan telah menemui Dr. Zahari berkaitan sample darah Anwar untuk tujuan DNA pada 15.10.1998 itu sahaja, sudah memadai untuk membuat kesimpulan bahawa Musa Hassan TIDAK mempunyai keterangan yang lengkap ketika mentaklimatkan Tun Mahathir berkaitan Anwar beberapa lama sebelum itu.


11.2.2.Sila rujuk laporan lengkap dalam “surat tertutup” saya bertarikh 27.12.2010 dialamatkan kepada Tan Sri KPN, Solicitor General dan YAB Perdana Menteri berkaitan pemalsuan DNA ini.


DAKWAAN KETERLIBATAN TUN MAHATHIR


12. Menerusi Kenyataan Tertuduh dan afidavit-afidavit yang Anwar telah failkan sebelumnya,beliau telah mendakwa pada tahun 1998 Tun Mahathir telah menyalahgunakan kuasa beliau dalam memberi tekanan keatas Jabatan Kehakiman, Peguam Negara dan Polis sehingga mendapatkan beliau (Anwar) disabitkan dengan kesalahan yang beliau tidak pernah lakukan dan dijatuhkan hukuman penjara berjumlah 15 tahun.


12.1. Saya menegaskan bahawa Anwar TIDAK mempunyai keterangan untuk mengaitkan Tun Mahathir dengan tindakan Gani Patail dan Musa Hassan dalam perbuatan merekacipta atau memberi keterangan palsu terhadap beliau (Anwar).


12.2. Sebaliknya, saya wajar menyatakan bahawa mengikut rekod rasmi dan apa yang tercatit diatas kertas dalam fail siasatan Polis, Tun Mahathir yang telah memberi nasihat dan amaran keras supaya tidak ada sebarang “cover-up” dilakukan dalam penyiasatan kes-kes melibatkan Anwar.


12.3. Nasihat dan amaran Tun Mahathir sedemikian itu telah saya rakamkan dalam diari penyiasatan kes mata-lebam pada 8.10.1998 setelah saya menemui beliau di-Jabatan Perdana Menteri yang dipanggil memberi taklimat kemajuan siasatan Polis dalam kes tersebut.


12.4. Nasihat dan arahan tersebut telah disampaikan kepada pucuk pimpinan tertinggi PDRM pada hari yang sama dan kepada Gani Patail dua hari kemudian.Laporan secara bertulis menerusi kertas siasatan kes, disampaikan kepada Gani Patail pada 15.10.1998 yang diakui penerimaannya secara rasmi.


13. Olih yang demikian,berdasarkan keterangan yang ada,saya menegaskan, segala penipuan dan pemalsuan keatas Anwar telah dilakukan olih Gani Patail dan Musa Hassan dengan kehendak mereka sendiri untuk faedah masing-masing,melainkan mereka berdua bolih membuktikan terdapat ada pihak ketiga yang terlibat.


MENGENAI SABITAN SALAH DAN HUKUMAN PENJARA 15 TAHUN


14. Sejak 1998 lagi, Anwar secara konsisten mengekalkan pengakuan tidak bersalah sambil mendakwa, bahawa pertuduhan-pertuduhan salahguna kuasa dan liwat yang dikenakan terhadapnya adalah pertuduhan palsu dan berniat jahat dan suatu konspirasi nekad, untuk memusnahkan kerjaya poliktiknya. Beliau turut mendakwa bahawa sabitan salah dan hukuman penjara 15 tahun yang dijatuhkan keatas diri beliau adalah suatu penganiayaan pihak Pemerintah keatas diri dan keluarga beliau.


15. Berdasarkan kepada keterangan dokumentari dan peristiwa-peistiwa penipuan dan pemalsuan yang dilakukan keatas diri beliau, yang bolih dan mampu dibuktikan, maka saya menyatakan bahawa dakwaan Anwar sedemikian itu adalah berasas dan mempunyai meritnya yang tersendiri.


15.1. Perbuatan “mencuri” sample darah Anwar untuk tujuan DNA olih Musa Hassan dan Rodwan telah dilakukan pada 15.10.1998. Manakala pemalsuan keterangan Forensic olih Dr.Rahman pula dilakukan pada 26.10.1998. Kedua-dua peristiwa yang berlaku, adalah diatas arahan dan atau/penyeliaan Gani Patail yang disempurnakan sebagai persediaan untuk keterangan tersebut digunakan terhadap Anwar, sebelum perbicaraan kes salahguna kuasa terhadap beliau dimulakan pada 2.11.1998.


15.2. Tanpa perlu mengulangi secara detail peristiwa diatas,saya menyatakan bahawa kedua-dua kejadian tersebut adalah antara beberapa keterangan kukuh untuk membuktikan keujudan niat jahat (mala fide) dan sikap bias Gani Patail dan Musa Hassan dalam penyiasatan dan pendakwaan kes ini.


15.3. Walaupun Hakim mendiang Dato Augustine Paul menolak (expunged) keterangan DNA akibat penjelasan yang menimbulkan kecurigaan daripada Ahli Kimia Encik Lim Kong Boon, tidak bermakna bahawa perbuatan “mencuri” sample darah bagi tujuan DNA dan mereka keterangan palsu dalam perkara ini, terbatal sama sekali. Malah ianya mengukuhkan lagi dakwaan-dakwaan bahawa sample darah yang dicuri dari kawalan Dr.Zahari itu telah ditanam (planted) diatas “tilam masyhor” yang diusung turun-naik Mahkamah ketika perbicaraan.


15.4. Perbuatan Musa Hassan memberi keterangan palsu (“perjury”) dalam perbicaraan kes salahguna kuasa terhadap Anwar, tiba-tiba terbongkar, apabila keterangan beliau berikan sendiri sebagai saksi PW75 dalam perbicaraan Kes Pendakwa Raya vs Ramli Yusuff di-Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, dibandingkan dengan keterangan yang beliau berikan dalam kes salahguna kuasa terhadap Anwar tahun 1998. Seorang Ahli Parlimen telah membuat laporan Polis terhadap Musa Hassan kerana melakukan kesalahan “perjury” ini dalam bulan Mac 2010, tetapi penyiasatannya disenyapkan begitu sahaja.


Analogi


16 Jika Musa Hassan dan Rodwan tidak pernah menemui Dr.Zahari berkaitan sample darah Anwar seperti yang dinyatakan diatas, maka Dr. Zahari Noor tidak akan memberikan keterangan sedemikian dalam perbicaraan kes salahguna kuasa terhadap Anwar dalam bulan Disember 1998. Rodwan juga tidak akan menyebut perkara DNA ini tanpa sebab dalam percakapan yang dirakamkan darinya pada 1.10.1998.


16.1. Jika Musa Hassan sememangnya seorang yang jujur, termasuk apabila memberi keterangan bersumpah,maka Hakim Supang Lian dari Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, tidak akan melabelkan beliau sebagai seorang saksi yang tidak bolih dipercayai, dan kesaksiannya juga ditolak. Walhal beliau adalah seorang Ketua Polis Negara dan memakai pakaian seragam lengkap ketika memberikan keterangan tersebut. Pendek kata Hakim Supang Lian tidak akan membuat komen sedemikian melainkan beliau mempunyai keterangan yang kukuh.


16.2. Jika Musa Hassan tidak ada memberi keterangan palsu ketika perbicaraan kes salahguna kuasa terhadap Anwar, dihadapan Hakim mendiang Dato Augustine Paul dalam tahun 1998, maka tidak akan ujud nota keterangan sedemikian yang bolih dibandingkan pula dengan nota keterangan beliau di-Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu sebelas tahun kemudian.


16.3. Jika Musa Hassan tidak pernah memberi kemudahan dan membantu Gani Patail dalam membuat dan mereka keterangan-keterangan palsu dalam penyiasatan insiden mata-lebam tahun 1998, maka saya sendiri tidak akan merakamkan dalam diari penyiasatan saya ketika itu, mengenai peranan dan penglibatan beliau dan Gani Patail dalam salahlaku jenayah ini.


Memoirs


17. Jika Musa Hassan telah berjaya meyakinkan Tun Mahathir untuk mempercayai Anwar terlibat dalam aktibiti homosexsual,lantas beliau dipecat dan dikenakan beberapa pertuduhan jenayah sehingga disabitkan kesalahan dan dipenjarakan, maka nota keterangan Musa Hassan berikan dalam perbicaraan salahguna kuasa terhadap Anwar itu sendiri, akhirnya telah membongkarkan segala pemalsuan dan penipuan lampau yang Musa Hassan telah lakukan.


17.1. Begitu juga apa yang berlaku keatas Gani Patail. Sungguhpun beliau berjaya meyakinkan Tun Mahathir dan Jemaah Menteri ketika itu,dengan memperkecilkan hasil penyiasatan Polis terhadap insiden mata-lebam, sehinggakan Jemaah Menteri percaya bahawa PDRM tidak telus dan professional dalam tugas mereka,lantas menubuhkan Suruhanjaya Di-Raja penyiasatan pula. Maka keterangan-keterangan yang terkandung dalam laporan Suruhanjaya itu sendiri,akhirnya telah mengesahkan segala pemalsuan dan penipuan yang Gani Patail telah lakukan.


17.2. Tanpa diduga 13 tahun kemudian,Tun Mahathir telah mengeluarkan memoirs beliau dalam “A Doctor in the House”, pada bulan Mac 2011. Secara sengaja atau kebetulan, memoirs Tun dalam membincangkan peristiwa mata-lebam dan dakwaan terhadap Anwar, sebaliknya telah mengukuhkan lagi keterangan salahlaku jenayah terhadap Gani Patail dan Musa Hassan pula.


17.2.1.Jika Tun Mahathir dalam memoirs sendiri telah berterus terang pernah tersalah anggap, bahawa kecederaan mata-lebam yang Anwar alami itu adalah dilakukannya sendiri (self-inflicted), hanya untuk kemudiannya sedar bahawa kecederaan tersebut akibat serangan mantan Ketua Polis Negara,maka Tun juga bolih tersalah anggap mengenai aktibiti homosexsual Anwar. Tun Mahathir tidak bolih mengenepikan kemungkinan beliau telah diperdayakan olih Musa Hassan dengan butir taklimat yang ditokok-tambah atau dimanipulasikan.


17.2.2.Menilai semula penglibatan Musa Hassan dalam peristiwa, yang ramai tidak menyangka beliau sanggup lakukan,iaitu, “mencuri” sample darah untuk tujuan DNA,bersubahat dengan Gani Patail dalam mereka 3 laporan Forensik palsu serta kemudiannya memberi keterangan palsu dalam perbicaraan melibatkan Anwar, yang kesemuanya berlaku selepas beliau memberikan taklimat kepada Tun, maka kemungkinan Tun Mahathir telah diperdayakan menjadi lebih credible.


17.2.3.Saya menyatakan Tun sememangnya serius apabila beliau pada 8.10.1998 mengarahkan menerusi saya supaya tidak ada sebarang “cover-up” dalam penyiasatan kes-kes terhadap Anwar. Bagaimanapun Tun tidak mempunyai kawalan terhadap tingkahlaku Gani Patail dan Musa Hassan.


17.2.4.Tun Mahathir sendiri mengaku telah mengarahkan KPN supaya berhati-hati apabila menangani Anwar. Malah Tun (memberitahu saya ketika menemui beliau) telah meminta supaya Anwar tidak digari apabila ditangkap, jika bolih. Namun, Anwar tetap juga dibelasah olih mantan KPN tersebut sebaik ditangkap ketika kedua belah tangannya masih bergari.Begitu juga keadaannya,walaupun Tun telah mengarahkan supaya tidak ada sebarang “cover-up” terhadap kes-kes melibatkan Anwar, dan arahan tersebut telah saya sampaikan kepada mereka yang berkenaan,secara lisan dan bertulis, namun Tun tidak berupaya untuk menghalang Gani Patail dan Musa Hassan daripada melakukan pemalsuan dan penipuan keatas Anwar dibelakang beliau.


17.2.5.Sekiranya Gani Patail sanggup melibatkan diri melesapkan dokumen yang mengaitkan beliau dengan salahlaku jenayah, sebelum laporan Suruhanjaya Di-Raja mata-lebam dipersembahkan kepada SPB Yang Di-Pertuan Agong, maka apalah manipulasi keatas rakyat biasa kepada beliau.


17.2.6.Dengan berat hati saya menyatakan,bahawa terdapat beberapa kenyataan mustahak Tun dalam Chapter 53 “Doctor in the House”, khususnya menyentuh berkaitan siasatan kes mata-lebam dan tindak-tanduk Pendakwa Raya dalam perkara sama, adalah berbeza dengan fakta terkandung dalam fail siasatan rasmi yang dibuat pada 1998. Saya percaya pekara ini bolih berlaku akibat Tun telah diberikan maklumat atau taklimat yang telah dimanipulasikan dan mengelirukan.



Kesimpulan Perkara


18. Berdasarkan kepada hujah-hujah yang tersebut diatas yang disokong dengan dokumen-dokumen dan keterangan yang ada dalam milik dan pengetahuan saya sendiri, saya berpendapat bahawa sabitan salah keatas Anwar dalam pertuduhan salahguna kuasa keatas beliau,telah diperolehi olih pihak Pendakwaan melalui jalan penipuan dan pemalsuan yang telah dilakukan dengan niat bersama olih Gani Patail dan Musa Hassan untuk faedah bersama mereka.


18.1. Tidak salah untuk menyatakan hukuman penjara yang Anwar telah lalui adalah penganiayaan terhadap beliau olih mereka berdua.


PENUTUP


19. Selain daripada diri saya sendiri, saya mendapat maklum terdapat sekurang-kurangnya dua lagi pihak yang pernah menemui Perdana Menteri, YAB Dato Seri Mohd. Najib Tun Razak (PM Najib), bertujuan menyarankan supaya sesuatu tindakan diambil terhadap Gani Patail dan Musa Hassan. Ini memandangkan salahlaku jenayah yang telah mereka lakukan, adalah sangat ketara dan telah membebankan Negara, selain daripada memusnahkan kepercayaan Rakyat terhadap Institusi-Institusi Kerajaan.Saya mempunyai alasan untuk menyatakan, PM Najib turut sedar bahawa keterangan terhadap Gani Patail dan Musa Hassan adalah jelas dan kukuh. Malahan, tidak ada jalan keluar bagi mereka berdua.Namun begitu, PM Najib nampaknya masih belum bersedia untuk melaksanakan kuasa beliau sebagai Perdana Menteri diatas sesuatu pertimbangan yang hanya beliau ketahui. Mungkin beliau sedang menunggu masa yang sesuai. Saya yakin PM Najib tidak akan timbulkan soal ketiadaan atau kekurangan keterangan terhadap mereka berdua.


20. Sebagai seorang yang terlibat secara langsung menangani isu-isu berkaitan Anwar sejak 1998, serta mempunyai pengalaman bersemuka dan berinteraksi dengan kesemua “pemain-pemain utama” perkara dalam persoalan ini,terutamanya Tun Mahathir sendiri, Gani Patail, Musa Hassan, Anwar Ibrahim, selain daripada Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Suruhanjaya Di-Raja siasatan mata-lebam dan juga PM Najib, maka saya mampu menegaskan, bahawa segala pendedahan fakta yang saya buat dalam surat keluaran ini dan juga dalam beberapa banyak Surat Terbuka saya sebelum ini, tidak pernah lari sedikitpun daripada landasan kebenaran.


21. Saya menyimpan hak saya untuk menyambung ulasan mengenai isu ini pada masa yang sesuai, memandangkan perbicaraan kes Sodomi II akan disambung semula pada 19 September 2011, walaupun saya sedar akan risikonya.


Sekian, untuk makluman dan tindakan YDH Tan Sri dimana berkaitan mengikut peraturan Undang-Undang sedia ada.


Salam sejahtera.


Yang benar,


Mat Zain Ibrahim

Sunday, September 4, 2011

Cuplikan Dari Tulisan Pak Mokhtar Petah:Cerita Tentang Rashid Maidin





Ada satu peristiwa kecil – beritanya menarik - , pada satu hari aku telah menerima panggilan melalui telefon dari seorang rakanku dan rakan Rashid Maidin, iaitu Allahyarham Shaharuddin,”...datang segera ke Gopeng, ...rumah mak Suri Nandih...,Rashid Maidin balik.”

(Foto) Allahyarham Rashid Maidin.Foto ihsan blog Kini&Silam

Aku telah pergi ke rumah ibu Rashid Maidin, Allahyarhamah Suri binti Nandih, di Gunung Misah, Gopeng. Sebaik-baik sahaja aku tiba, aku jadi terpegun dan sedih kerana Mak Suri Nandih telah meninggal dunia. Jenazah sedang terbujur di tengah rumahnya. Aku nampak, di antara orang-orang yang sedang membaca ayat-ayat Quran dekat jenazah itu, iaitu seorang lelaki telah berumur sedang membaca Quran di sisi mayat jenazah tersebut.


LORI KECIL

Aku mulai cam lelaki itu, tetapi entah mengapa aku seperti terpukau melihatnya. Aku telah duduk dan membaca surah Yasin bersama orang-orang lelaki di situ yang jaraknya kira-kira lima meter dari lelaki itu. Apabila aku selesai membaca surat Yasin, aku mendapati lelaki itu telah tiada lagi di sisi jenazah itu. Sebaik-baik aku selesai membaca surah Yasin, aku bergegas turun turun dari rumah itu dan hatiku bertanya,”...diakah Rashid Maidin?”.


Sambil turun dari rumah itu aku merenung ke jalan raya yang jaraknya dari rumah itu kira-kira tiga ratus meter. Atas jalan raya sebuah lori kecil, membawa buah-buah pisang muda baru bergerak, ke arah pekan Gopeng.

Selesai memakai kasut di kaki tangga itu aku telah berjalan ke arah beberapa orang lelaki sedang duduk atas bangku panjang tepi halaman tumah itu. Di antara mereka itu ,ialah dua orang rakanku, Allahyarham Shaharuddin dan Allahyarham Mustafa Hussein. Allahyarham Shaharuddin telah berbisik ke telinga kananku, ”...dia (Rashid Maidin) datang tadi, sempat baca Yasin, ...dah pergi dengan lori pisang.”


Aku telah duduk dekat mereka dan meneguk secawan air kopi ’o’ yang telah disediakan di situ. Kira-kira setengah jam kemudian, dua buah Land Rover membawa sepasukan anggota-anggota polis telah masuk ke halaman rumah itu. Mereka itu lengkap dengan senjata yang pada bila-bila masa sahaja akan memuntahkan pelurunya. Beberapa orang dari mereka telah naik ke rumah tempat jenazah Suri Nandih sedang terbujur dan anggota-anggota polis yang lain telah berkawal di sekitar kawasan rumah itu.

”Nampaknya, Rashid lebih pandai dari polis...,” bisik Mustafa Hussein.

ASKAR MELAYU

Pada ketika itu aku kagum terhadap kesetiaan dan kasih seorang anak kepada ibunya, walau dalam keadaan yang membahayakan dirinya – kemungkinan peluru-peluru api akan menembusi tubuhnya - , namun dia datang juga mengadap jenazah ibunya.




Setelah melarikan diri dari khemah tahanan Tanjung Beruas, Melaka, Rashid Maidin telah menyertai Tentera Pembebasan Bangsa Melayu ke – 10,(Rejimen Ke-10,Tentera Rakyat Malaya-ed) di negeri Pahang yang bermarkas dalam rimba di daerah Temerloh.




Pada tahun 1950 itulah Tentera Pembebasan Bangsa Melayu (Tentera Rakyat Malaya-ed) di negeri Pahang telah menubuhkan semula pasukan Askar Melayu Ke – 10 (Rejimen Ke-10) di negeri itu. Pada masa itulah juga Chin Peng telah membawa anggota-anggot Komunis lebih kurang seramai dua ribu orang dari negeri Perak telah memerintahkan orang-orangnya memujuk orang-orang Melayu di daerah Temerloh yang luas itu untuk menyebelahi pihak Komunis, membenci British dan Kerajaan Tanah Melayu supaya bangkit memberontak.




Pejuang-pejuang Melayu yang dahulunya menentang British di Malaya sekarang telah dibawa masuk oleh Chin Peng ke negeri Pahang menjadi pemimpin askar Melayu Ke-10 cawangan Tentera Pembebasan Bangsa Melayu di negeri itu, iaitu seperti Abdullah C.D., Musa Ahmad, Manap Jepun dan Shamsiah Pakeh. Orang-orang Melayu lain yang disifatkan sebagai pemimpin pengganas di negeri Pahang itu ialah Wan Ali, Wahi Anuar dan Budin bin Chok.


Pejuang Melayu yang menyebelahi Parti Komunis Malaya itu bertujuan hendak menghalau British dari Semenanjung Tanah Melayu dengan jalan berbaik-baik dengan Parti Komunis Malaya yang mempunyai askar dan senjata yang banyak itu, seperti kata mereka, ” Kalau hendak memburu harimau mestilah ada anjing pemburu yang garang!”

SUSAH HATI


Kira-kira setahun sebelum kejadian itu, aku telah bertemu dengan isteri dan anak-anak lelaki Rashid Maidin, di rumah mereka, di Sungai Itik, Gopeng. Sebatang paip air yang besar dan memanjang dari loji air di bukit hulu Sungai Itik ke kawasan luar, telah memisahkan rumah mereka dengan jalana raya. Untuk pergi ke rumah mereka itu terpaksa memanjat dan turun tangga yang tersandar pada batang paip itu.


Kira-kira satu jam aku telah berbual dengan isteri dan anak-anak Rashid. Semenjak hari itu aku yakin Rashid Maidin telah curi-curi pulang ke rumah keluarganya. Keyakinanku dikuatkan dengan perhatianku kepada isterinya. Perempuan itu tidak kelihatan seperti orang sedang sedih, rindu dan susah hati kerana telah lama ditinggalkan oleh suaminya.

’Waktu itu kira-kira penghujung Jun 1948. darurat telah diisytiharkan, tapi saya sendiri pun tak terbayang begitu cepatnya darurat diisytiharkan dan begitu kejamnya tindakan penjajah British. Isteri saya yang ketika itu sedang sakit merasa sesuatu perkara yang tak diingini akan berlaku ke atas saya.


Utusan yang ditunggu-tunggu tidak kunjung datang, tetapi yang datang ialah satu seksyen polis yang dipandu oleh seorang intelijen Melayu dengan membawa surat saman untuk mengiring saya ke balai polis. Sebelum meninggalkan rumah. saya memberitahu isteri dan membariskan anak-anak saya (tiga orang) lalu mencium mereka.




Saya berjanji dengan mereka, ”Esok ayah akan pulang.” Saya turun tangga di dalam tangisan anak-anak. Isteri saya pula menangis di dalam selimut. Itulah saat-saat terakhir saya bersama anak isteri.


Saya ditangkap atas tuduhan seorang komunis. Mula-mula ditahan di lokap Teluk Anson sekarang Teluk Intan) kemudian dibawa pula ke penjara Taiping. Saya digari dengan seorang pemuda Tionghua yang tidak dikenali. Kami dibawa naik keretapi. Kebetulan pada masa itu saya terserempak dengan Aminuddin Baki yang dalam perjalanan balik ke Chemor dari persekolahannya di Singapura.




Saya nampak dia jadi serba salah dan gelabah. ”Bung Rashid kena tangkap?” Dia berkata sambil mengggeleng-gelengkan kepala. Seterusnya dia menyambung kata’ ”Bong jangan bimbang, mesti teguh, jangan goyang.” Saya menjawab, ”Tak goyang.”




Sebelum berpisah kami bersalaman. Dia memberikan sebuah majalah Inggeris yang sedang dibacanya serta wang seringgit. Saya menolak, tapi dia menyatakan mungkin ada gunanya.’

(Sedutan dari manuskrip, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah. Edditor, Petah Shahrir Aidid).


*Tulisan diatas merupakan cuplikan dari blog Pak Mokhtar Petah,penulis dan wartawan veteran.Blog beliau boleh dikunjungi di:http://mokhtarpetah.blogspot.com